Pemandu maut, penumpang parah kereta langgar pokok

Operasi menyelamat dijalankan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping. (Gambar kecil: Mangsa Wong Khiew Feng)
Operasi menyelamat dijalankan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping. (Gambar kecil: Mangsa Wong Khiew Feng)
A
A
A

TAIPING - Seorang lelaki maut selepas kereta dinaiki hilang kawalan sebelum melanggar sebatang pokok di Jalan Simpang Halt, tengah malam tadi.

Kejadian sekitar jam 12.25 tengah malam itu turut menyebabkan rakannya, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang duduk di bahagian penumpang hadapan cedera parah.

Mangsa Wong Khiew Feng, 35, beralamat dari Aulong disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, nahas berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Sepetang menghala ke Taiping.

"Apabila tiba di tempat kejadian, kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke tepi dan melanggar sebatang pokok.

"Mangsa mati di lokasi sementara seorang lagi dikejarkan ke Hospital Taiping untuk rawatan," katanya.

Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati keadaan jalan adalah gelap dan sempit.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dibawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: