PLUS guna dron pantau trafik sempena musim perayaan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Plus Malaysia Berhad (PLUS) buat kali pertama akan menggunakan dron bagi memantau keadaan trafik di lebuh raya seliaannya yang dijangka digunakan kira-kira 2 juta kenderaan pada waktu puncak sempena musim perayaan.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, dron tersebut akan digunakan untuk membuat pemantauan trafik di lokasi strategik di lebuh raya.

“PLUS telah membuat pelbagai persediaan dari segi operasi dan strategi pengagihan trafik dalam usahanya membantu pelanggan bergerak dengan selamat dan selesa terutamanya pada waktu puncak menjelang Aidilfitri ini.

“Selain itu jumlah kenderaan juga menunjukkan peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding 1.7 juta pada hari-hari biasa,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, sepertimana pada setiap musim perayaan, PLUS turut mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk membantu pelanggan merancang perjalanan balik kampung dan balik ke kota.

“Bagi perjalanan balik kampung di antara 30 Mei hingga 10 Jun ini, pelanggan yang bergerak ke destinasi paling jauh dari Lembah Klang seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor disarankan agar memasuki lebuhraya sebelum jam 10 pagi.

“Manakala, pelanggan yang menghala ke lokasi yang berdekatan seperti Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor pula boleh memasuki lebuhraya selepas jam 10 pagi. Cadangan waktu perjalanan boleh didapati menerusi Aplikasi PLUS pada musim perayaan,” katanya.

Tambahnya, PLUS turut meneruskan pendekatan kerjasama bersama agensi penguatkuasaan seperti Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk penguatkuasaan undang-undang di lebuhraya.

Artikel Berkaitan:

“PLUS akan menyediakan seramai 5,000 kakitangannya untuk tujuan memantapkan operasi lebuh raya untuk memberi lebih keselesaan kepada pengguna.

“Lorong tambah nilai akan ditutup di semua plaza tolnya bermula pada 30 Mei hingga 11 Jun dan kerja-kerja menaiktaraf di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan juga akan dihentikan sementara mulai 31 Mei hingga 10 Jun,” jelasnya.