Pertahan hak peneroka Felda

Asrullah Affendi Abdullah
Asrullah Affendi Abdullah
A
A
A

KUANTAN - Majlis Belia Felda Wilayah (MBFM) Kuantan menggesa Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO, Mazlan Aliman supaya lebih lantang bersuara dalam mempertahankan hak peneroka Felda.

Kenyataan berbentuk pertanyaan 'Masih adakah duit raya untuk peneroka Felda' kepada kerajaan dilihat seolah-olah bersikap lepas tangan dan tidak berani bersuara seperti sebelum ini dalam menuntuk hak serta kepentingan warga Felda.

Ketua Penerangan MBFM Wilayah Kuantan, Asrullah Affendi Abdullah berkata, pihaknya kecewa dan mahu Mazlan Aliman lebih konsisten menjadi orang tengah di antara peneroka dan kerajaan.

Katanya, jangan kerana telah mendapat jawatan beliau sewenangnya menjnggalkan peneroka Felda tanpa hala tuju dan pembelaan.

"Sebagai individu yang bertanggungjawab di atas semua masalah yang berlaku kepada peneroka hari ini, beliau perlu berani mendesak kerajaan untuk dapatkan hak sewajarnya.

"Jika sebelum ini beliau lantang mengkritik kerajaan terdahulu dan Felda di atas pelbagai Insentif yang diberikan, kenapa hari ini perlu rasa takut dan serba salah," katanya.

Beliau berkata, Mazlan Aliman sepatutnya menggesa kerajaan memberikan insentif kepada 112, 635 peneroka seluruh negara sebelum sambutan Aidilfitri.

"Peneroka Felda kini tertekan dengan perubahan ekonomi sejak diambil alih Pakatan Harapan sejak setahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"MBFM Kuantan mendesak penjelasan sebaiknya dan berharap beliau mendapatkan kepentingan warga Felda,"katanya.

Pihaknya turut memuji tindakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali menjaga hal ehwal dan kepentingan peneroka Felda yang dilihat konsisten mempertahankan hak golongan itu khususnya di Parlimen.