'Syukur kami terselamat...'

Kebakaran yang berlaku di hadapan rumah Noriah.
Kebakaran yang berlaku di hadapan rumah Noriah.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Seorang wanita memanjatkan kesyukuran selepas rumah sewa yang didiaminya sejak 18 tahun lalu di Kampung Kedai Lama Rantau Panjang terselamat daripada kebakaran hasil bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Noriah Hashim, 50, berkata, ketika sedang menyiapkan juadah berbuka puasa sekitar jam 5.15 petang dia terdengar jeritan mengatakan ada rumah terbakar.

"Terkejut dengar bunyi jeritan, saya pun bergegas keluar. Saya tengok tiga rumah jiran sedang dijilat api," katanya.

Menurutnya, dia terus mengambil cucunya, Mohd Fakhrullah Mohd Amirul Amin Daniel,3, yang sedang bermain di ruang tamu dan lari keluar dari rumah menyelamatkan diri.

Katanya, pada waktu itu api sedang marak dan merebak ke arah rumah sewanya.

Noriah menunjukkan rumah jiran yang terletak di hadapan rumahnya musnah dalam kebakaran.
Noriah menunjukkan rumah jiran yang terletak di hadapan rumahnya musnah dalam kebakaran.

Noriah berkata, anggota PGA dan ATM yang kebetulan bertugas berdekatan lokasi kejadian datang ke rumahnya dan memadamkan api menggunakan air tadahan hujan yang ada.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah api berjaya dipadam dan tidak sempat merebak ke rumah saya.

"Terima kasih kepada mereka yang berkenaan kerana sanggup bergadai nyawa," katanya.

Noriah berkata, bagaimanapun dia berasa sedih apabila rumah sewa dua jirannya iaitu Fatma Mahamad,31, dan Khatijah Mahmud, 49, musnah.

Dia berkata, mereka bukan sahaja hilang tempat berteduh tetapi turut kehilangan harta benda.