Dua pemain import baharu perkuat Sang Kancil

No Image Caption
A
A
A

MELAKA United membawa masuk dua pemain import baharu, Davy Claude Angan dan Dominik Balic pada jendela perpindahan bagi memperkuatkan pasukan dalam pusingan kedua Liga Super musim ini.

Persatuan Bolasepak Melaka (Musa) menerusi kenyataannya berkata, dua pemain berkenaan iaitu Angan berasal dari Ivory Coast dan Balic dari Crotia sah menyertai skuad Sang Kancil sejak semalam.

"Semoga dengan kehadiran Angan dan Balic ke dalam pasukan ini diharap akan memperkuatkan lagi Melaka United untuk meraih kedudukan terbaik dalam saingan Liga Super 2019 seterusnya membantu pasukan bersaing dalam Piala Malaysia musim ini," kata MUSA dalam satu kenyataan hari ini.

Angan yang mampu beraksi di posisi sayap dan penyerang pernah bersama beberapa kelab di Norway, China dan Turki selain membuat kemunculan pertama dalam Liga Malaysia bersama Skuad Hang Tuah.

Untuk rekod, pemain berusia 32 tahun pernah beraksi di liga bola sepak teratas Norway selama empat tahun bermula 2008 bersama kelab Lyn, Honefoss dan Molde menyaksikan Angan muncul penjaring terbanyak dengan 22 gol sepanjang musim 2012 ketika bersama Molde.

Musim 2013 menyaksikan beliau beraksi di Chinese Super League bersama kelab Hangzhou Greentown selama tiga tahun sebelum menyertai Gaziantepspor beraksi di liga bola sepak teratas Turki, Super Liga pada musim 2016-2017 sebelum menyertai kelab Samsunspor beraksi di Divisyen 2 Turki dan kemudiannya beraksi di Liga Perdana Malta bersama kelab Mosta FC.

Sementara itu, Balic yang berusia 23 tahun berasal dari Split, Croatia boleh beraksi di posisi pertahanan midfield dan pertahanan tengah sebelum ini beraksi bersama kelab Divisyen 2 Croatia, NK Dugopolje sejak 2015.

Beliau merupakan pemain skuad muda beberapa kelab di negaranya termasuk kelab terkemuka, HNK Hajduk Split, RNK Split termasuk NK Dugopolje.

Artikel Berkaitan:

Dengan kemasukan dua import berkenaan melengkapkan kuota pemain import Melaka United pada pintu perpindahan kedua, yang sebelum ini menggugurkan Liridon Krasniqi selain meminjamkan Darko Markovic ke pasukan Kuala Lumpur dan Anselmo Cassagrande ke Pulau Pinang.

Setakat ini pasukan Hang Tuah itu mengekalkan pemain import Asia, Jang Suk Won dari Korea Selatan dan pemain berasal dari Filipina, Patrick Riechelt selain membawa kembali pemain import dari Serbia, Luka Milunovic ke dalam pasukan.

Melaka United kini berada di tangga kelima Liga Super selepas 14 perlawanan dengan mengutip 19 mata selepas mencatatkan lima kemenangan dan lima kekalahan serta empat keputusan seri. - Bernama