Isu matrikulasi: MPN bersama NGO pendidikan teguh berdiri di belakang Maszlee

Pertemuan yang berlangsung lebih sejam itu turut melibatkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Persatuan Linguistik, Persatuan Pesara Kakitangan Pendidikan dan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM). - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Pertemuan yang berlangsung lebih sejam itu turut melibatkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Persatuan Linguistik, Persatuan Pesara Kakitangan Pendidikan dan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM). - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

PUTRAJAYA - Komuniti Pendidikan Majlis Perundingan Melayu (MPM) bersama badan bukan kerajaan (NGO) sekutunya menyokong penuh pendirian kerajaan khususnya Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berhubung pelaksanaan program matrikulasi.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Hasan Mad berkata, sebagai NGO yang memperjuangkan Islam dan Melayu pihaknya sentiasa komited dalam memastikan hak dan kepentingan Bumiputera terjaga.

"Dalam kemelut terkini mengenai sistem pendidikan matrikulasi ini kami senada dengan Dr Maszlee dan menyokong tindakan tegas beliau mempertahankan program ini dikekalkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kuota matrikulasi: Kerajaan harus pertahankan Maszlee

"Kami mempertahankan kepentingan Melayu dan apabila pemimpin Melayu yang mempertahankan Melayu dibidas, kami wajib tampil menyatakan sokongan," katanya ketika ditemui sebaik selesai mengadakan pertemuan dengan Maszlee di kementeriannya di sini hari.

Pertemuan yang berlangsung lebih sejam itu turut melibatkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Persatuan Linguistik, Persatuan Pesara Kakitangan Pendidikan dan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menurut Hasan lagi, tindakan pihak tertentu yang mendesak supaya Maszlee meletakkan jawatan disebabkan ketegasan beliau merupakan tindakan keterlaluan.

"Kami semua komited memberikan sepenuh sokongan kepada beliau (Maszlee) untuk meneruskan hasrat memperkasakan sistem pendidikan matrikulasi.

Artikel Berkaitan:

"Program matrikulasi bukan baharu diperkenalkan tetapi ia merupakan program sedia ada dan hasilnya daripadanya juga telah terbukti apabila berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlang,"katanya.

Mengulas isu sama, Hasan turut menjelaskan MPM juga akan lantang menegur kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan sekiranya ada tindakan yang dilihat tersasar daripada landasan asal dalam usaha untuk memperkukuhkan sistem pendidikan nasional.

"Nasihat kami kepada menteri (Maszlee) terajuilah kementerian ini sebaik mungkin dan perkasakan warga pendidik bagi mewujudkan kebanggaan dan semangat di kalangan mereka untuk mencurah bakti kepada anak bangsa," katanya.

Terdahulu, beberapa pemimpin DAP, Gerakan dan MCA dilaporkan mengecam Maszlee dan menuntut permohonan maaf serta peletakan jawatan daripadanya kerana mendakwa mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman.

Maszlee dikatakan mengeluarkan kenyataan mengaitkan isu kuota matrikulasi dengan kehendak majikan yang mengutamakan calon fasih bahasa Mandarin di hadapan penuntut Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.