Video tembak anjing: MBI ikut SOP

Guo Nan (tengah) pada sidang media hari ini.
A
A

IPOH – Operasi memusnahkan anjing menggunakan senjata api di kawasan perumahan Pengkalan Gate seperti mana video tular di media sosial, semalam terpaksa dilakukan selepas mendapati haiwan berkenaan bertindak menyerang penduduk dan haiwan ternakan.

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menerima aduan berulang berkaitan banyak anjing berkeliaran di kawasan itu.

Kumpulan anjing liar berkenaan telah menyerang kambing ternakan dan seorang pegawai kanan tentera.

“Jadi bagi menyelesaikan masalah berkenaan, Unit Kawalan Anjing Penguatkuasa MBI telah ditugaskan ke perumahan itu.

“Kaedah pemusnahan yang digunakan Penguatkuasa MBI adalah mengikut prosedur yang ditetapkan dibawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing (MPI) 1987,” katanya.

Sebahagian rakaman video yang tular di media sosial.
Sebahagian rakaman video yang tular di media sosial.

Kenyataan itu turut memaklumkan, MBI sentiasa konsisten dalam menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik anjing dan setiap operasi pemusnahan anjing liar dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Warga kota diminta untuk sama-sama membantu mengatasi masalah anjing liar di kawasan masing-masing. Sebarang aduan boleh disampaikan menerusi talian whatsapp MBI, 019-5503083,” katanya.

Video berdurasi 1 minit 39 saat itu menunjukkan seorang penguatkuasa MBI mengacukan selaras senapang ke arah seekor anjing sebelum melepaskan tembakan.

Kejadian berlaku pada Rabu lepas sekitar jam 10 pagi dan video dirakam penduduk perumahan itu telah dikongsi di WhatsApp dan Facebook sehingga mendapat lebih 3,600 perkongsian.

Rata-rata netizen menyalahkan pihak berkuasa kerana menganggap ia satu tindakan kejam terhadap haiwan.

Guo Nan (tengah) bersama Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan Ipoh membantah pemusnahan dengan cara menembak.
Guo Nan (tengah) bersama Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan Ipoh membantah pemusnahan dengan cara menembak.

Dalam pada itu, Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak dalam sidang media memaklumkan, dua laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu.

Ketuanya, Low Guo Nan berkata, pihaknya sama sekali tidak menyokong pendekatan pemusanahan anjing menerusi tembakan kerana jelas mengabaikan Akta Kebajikan Haiwan 2015.

“Dalam akta ini secara jelas menyebut bahawa tiada seorang pun boleh membunuh dengan menembak menggunakan senjata api mana-mana anjing, kucing atau mana-mana haiwan lain, jadi sudah tentu tindakan menembak itu menimbulkan banyak pertikaian.

"Kita harap insiden sama tidak akan berulang dan sebolehnya penguatkuasa guna pendekatan lain yang bersesuaian,” katanya.

Hadir sama pada sidang media itu, Presiden Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan Ipoh, Ricky Soong.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia