Penjawat awam Sabah dapat bonus raya RM500

Mohd Shafie Apdal - Foto Bernama
Mohd Shafie Apdal - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Pejawat awam Sabah akan menerima bonus raya sebanyak RM500 yang akan dibayar secepat mungkin sebelum Hari Raya Aidilfitri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pemberian bonus berkenaan melibatkan seramai 21,021 orang penjawat awam negeri disemua peringkat, termasuk kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Pembayaran bonus itu melibatkan jumlah keseluruhan kira-kira RM10.5 juta. Kerajaan meluluskan bonus ini sempena Hari Raya Aidilfitri itu setelah mengambil kira rintangan yang dihadapi penjawat awam pada masa kini.

“Walaupun keadaan kewangan tidak begitu sihat namun, saya ingin mengumumkan bonus kepada anggota perkhidmatan awam di semua peringkat termasuk mereka yang berskala tinggi,” katanya kepada pemberita selepas Penyerahan Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri kepada pasukan keselamatan di sini hari ini.

Mohd Shafie meminta agar penjawat awam negeri dapat memanfaatkan bonus itu sebaik mungkin dan menggunakannya untuk perbelanjaan perayaan.

“Walaupun jumlah pemberian bonus ini kecil tetapi gunakanlah duit itu sebaiknya untuk keperluan anak-anak,” tambahnya.

Pada majlis itu sebanyak sembilan pasukan dan agensi keselamatan antaranya polis, tentera dan bomba menerima sumbangan kuih-muih Hari Raya Aidilfitri berkenaan dariapda 40 badan dan agensi kerajaan serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Mohd Shafie berkata kerajaan Sabah terus menghargai pengorbanan anggota pasukan keselamatan dalam menjaga keselamatan negara, khususnya pada musim perayaan.- Bernama

Artikel Berkaitan: