Pelanggan licik perdaya peniaga kuih raya

Ieda Bie memuat memuat naik pengalaman ditipu pelanggan di Facebooknya.
Ieda Bie memuat memuat naik pengalaman ditipu pelanggan di Facebooknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang peniaga aneka biskut raya dan kuih terpaksa menanggung kerugian ratusan ringgit selepas mendakwa menjadi mangsa pelanggan licik yang memperdaya urus niaga pembelian biskut berkenaan.

Peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Ieda Bie 20an, berkata, kejadian berlaku pada malam Khamis lalu apabila dia mendapat pesanan daripada seorang wanita yang mahu menempah biskut raya dalam jumlah yang banyak pada kadar segera.

“Dia tempah malam dan minta saya hantar dan bertemu dengannya di sebuah hotel di Kuala Lumpur esok paginya.

“Biasanya memang saya akan ambil deposit bagi setiap tempahan pelanggan, tapi wanita tu kata susah nak memindahkan duit sebab dia dari Singapura ditambah sekarang bulan puasa jadi saya bertolak ansur dan tak ambil deposit (pendahuluan) daripadanya.

“Malangnya, pagi Jumaat lepas masa saya hantar tempahan yang jumlah keseluruhan RM630, wanita tu melarikan diri selepas ambil semua biskut tanpa buat sebarang bayaran,” katanya kepada Sinar Harian.

Ieda Bie yang juga pengusaha perniagaan aneka biskut atas talian yang menggunakan jenama Cushycandy berkata, perwatakan wanita itu sangat lemah lembut ketika berkomunikasi dan penampilannya bertudung.

“Saya nak ambil gambarnya namun wanita itu mengelak kerana katanya dia hanya pekerja dan yang menempah biskut itu adalah bosnya.

“Kami bertemu di lobi dua hotel dan selepas wanita tu ambil biskut-biskut saya dia kemudian meminta saya mengambil duit tempahan itu daripada bosnya di lobi satu hotel berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Tak terfikir masa lagi wanita itu menipu, kerana semuanya nampak berjalan lancar, tapi selepas 10 minit saya tunggu di lobi satu, wanita itu tak lagi munculkan dirinya.

“Hati dah gelisah dan saya hubungi telefonnya wanita tu, dia bagi alasan berada di tandas. Saya cari wanita tu di tandas tapi dia tak ada dan telefonnya dah tak dapat dihubungi lagi selepas itu. Saya WhatsApp, hanya ada satu tanda sahaja,” katanya.

Ieda Bie berkata, dia kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan bersama-sama polis melihat kamera litar tertutup (CCTV) hotel untuk melihat gerak geri wanita itu.

“Berdasarkan CCTV itu, jelas menunjukkan wanita berkenaan sebaik sahaja memasukkan biskut dalam kenderaan jenis Hilux warna hitam terus meninggalkan hotel. Hilux itu dipandu seorang lagi wanita lain,” katanya.

Ieda Bie menambah, dia tidak sangka ada individu yang sanggup mengambil kesempatan seperti itu, ditambah pada bulan Ramadan.

“Ia satu pengajaran kepada saya, dan juga iktibar kepada peniaga lain di luar sana agar lebih berhati-hati ketika berurusan dengan pelanggan.

“Memang saya ralat tak ambil deposit sebab terlalu percaya kepada wanita itu. Sebenarnya memang penting untuk kita ambil duit deposit tak kisahlah sama ada kita kenal atau tidak pelanggan itu,” katanya lagi.

Ieda Bie menambah, sepanjang hampir tujuh tahun berniaga ini kali pertama dia berhadapan perkara seperti itu.

“Pelanggan buat tempahan kemudian tak ambil, itu perkara biasa, tapi kes yang ini memang pertama kali saya kena,” katanya.