Tapak tangan, lima jari hancur angkara mercun

Mangsa parah di bahagian pergelangan tangan dengan semua jari dan telapak tangan hancur akibat bermain mercun di Kampung Kubang Ikan di Kampung Raja di sini, petang tadi.
A
A

BESUT - Seorang pelajar lelaki Tingkatan 1 sebuah sekolah menengah di Alor Lintang parah di bahagian pergelangan tangan dengan semua jari dan telapak tangan hancur akibat bermain mercun di Kampung Kubang Ikan di Kampung Raja di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Syafiq Haikal Shaharrudin, 13, dikatakan tidak sempat membaling mercun bola yang sudah dinyalakan menyebabkannya meletup di tangan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, ibu mangsa, Zainab Mohd, 40, menyedari kejadian itu selepas didatangi sepupunya memberitahu Syafiq Haikal cedera terkena mercun.

Menurutnya, sebelum itu dia yang berada dalam rumah terdengar bungi letupan dan jeritan dari luar rumah.

“Ibu mangsa kemudian keluar rumah dan dapati anaknya mengalami kecederaan parah di bahagian pergelangan tangan kanan dengan semua jari dan telapak tangan hancur,” katanya.

Mohd Zamri berkata, wanita itu kemudian membawa anaknya ke Unit Kecemasan Hospital Besut namun mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut. Menurutnya, mangsa berada dalam keadaan sedar dan stabil dan ini merupakan kes pertama di daerah ini.