Klinik komuniti ganti Klinik 1Malaysia

Soong Beng Khoon
Soong Beng Khoon
A
A
A
RAWANG - Klinik 1Malaysia Bandar Country Homes yang ditamatkan operasi 17 November lalu akan digantikan kepada klinik komuniti.

Melalui notis ditampal oleh Pejabat Kesihatan Daerah Gombak memaklumkan pihaknya sedang mencari tapak baru untuk pengoperasian Klinik Komuniti di Bandar Country Homes.

Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Country Homes, Soong Beng Khoon berkata, status itu melegakan hati penduduk yang sebelum ini melahirkan perasaan marah dan sedih kerana kemudahan itu banyak membantu mereka mendapatkan bekalan ubatan dan pemeriksaan kesihatan.

Beliau berharap, pemilik premis dapat menyokong operasi klinik komuniti tersebut melalui penawaran sewa yang berpatutan.

"Pemilik kedai terutama di Jalan Desa 1/1 atau pusat Bandar Country Homes diharap menyewakan premis mereka dengan harga rendah dan munasabah sebagai khidmat sosial menyokong kerajaan menyediakan kemudahan kepada rakyat khususnya yang tidak berkemampuan.

"Tidak semua penduduk di sini mampu ke klinik swasta yang kosnya mahal, masih ramai penduduk di sini berpendapatan rendah dan sederhana yang memerlukan kemudahan itu," katanya.

Dalam masa sama katanya, beliau turut berharap operasi klinik komuniti yang akan dibuka nanti memberikan perkhidmatan lebih baik daripada sebelumnya.

"Saya cadangkan waktu operasinya dilanjutkan dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan perkhidmatan yang disediakan pelbagai termasuk pemeriksaan ibu dan anak dilakukan di sini.

" Disebabkan Bandar Country Homes jauh dari Klinik Kesihatan Rawang, saya juga berharap sekurang-kurangnya dua doktor ditugaskan di klinik komuniti itu nanti," katanya.
Artikel Berkaitan:


Penutupan Klinik 1Malaysia sebelum ini mendapat bantahan daripada penduduk yang menganggapnya sebagai satu bentuk penindasan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang menggunakan kemudahan itu.