Bersatu pegang janji tidak lebar sayap ke Sabah

 Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

CYBERJAYA - [DIKEMASKINI] Bersatu berpegang teguh kepada janjinya untuk tidak melebarkan sayap ke Sabah.

Ia ditegaskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Bersatu.

"Tidak. Kita tidak akan ke Sabah," katanya.

Bagaimana pun katanya, rakyat negeri itu bebas memilih sebarang parti.

"Mereka boleh pilih mana- mana parti," katanya.

Semalam, media melaporkan Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking yakin Bersatu akan berpegang kepada janji yang dipersetujui sebelum PRU 14 meskipun tiada hitam putih.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik dan pengikutnya yang keluar Umno dan menyerahkan borang keahlian Bersatu, Mahathir berkata, parti tidak akan menerima semua pemohonan.

“Kita timbang, kalau sesuai kita terima, kalau tak sesuai kita tidak boleh terima.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak boleh terima semua, kita kena kaji dulu, dia bebas semasa keluar Umno,” katanya ketika ditemui pemberita selepas dialog bersama 50 pemain industri teknologi tinggi, di sini hari ini.

Turut hadir beberapa menteri kabinet dan Ketua Pegawai Eksekutif Pengerusi Kumpulan Industri Kerajaan untuk Teknologi Tinggi ( Might), Datuk Dr Mohd Yusuff Sulaiman dan Pengerusinya, Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali.

Ditanya mengenai kedudukan Setiausaha Politiknya, Muhammad Zahid Md Arip yang dikaitkan dengan pertuduhan rasuah membabitkan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Mahathir berkata, tuduhan tidak bermakna bersalah.

"Tuduhan dibuat atas asas yang didapati. Kita kena tunggu sehingga dia (Muhammad Zahid) dibicarakan.

"Kalau dibicara dan salah, kita akui dia salah. Tuduhan sahaja tidak bermakna dia salah," katanya.

Jumaat lalu, Muhammad Zahid menjadi tumpuan selepas namanya tercatat di dalam kertas pertuduhan rasuah Mohd Isa.

Muhammad Arip didakwa sebagai perantara kepada Mohd Isa menerima rasuah RM3.09 juta.