Polis kenal pasti identiti pemilik, 16 penumpang kereta 'sardin'

A
A
A

BAGAN SERAI - Polis sudah mengenal pasti identiti pemilik kenderaan pelbagai guna (SUV) yang terbabit kemalangan melibatkan 16 penumpang warga Myanmar di Kilometer 190.6 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, polis turut mengenal pasti pemandu dan seorang penumpang hadapan kenderaan jenis Nissan X-Trail berwarna kelabu, juga dipercayai warga Myanmar, melarikan diri selepas kemalangan itu berlaku.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan tiga warga Myanmar maut, tujuh cedera parah dan empat cedera ringan setelah kenderaan dinaiki mereka terbabas dan melanggar penghadang lebuhraya sebelah kiri.

"Identiti pemilik kenderaan bernombor pendaftaran WSY 3316 itu ialah M Vasudavan,57, yang beralamat di Taman Pelangi, Kampar.

"Akibat kemalangan itu, empat penumpang tercampak keluar dari kereta dan terjatuh di bawah jambatan lebuh raya di Kampung Tebuk Panchor, Gunong Semanggol sebelum tiga daripadanya mati di tempat kejadian.

"Siasatan lanjut mendapati kesemua 16 penumpang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, tujuh lagi penumpang warga asing itu mengalami kecederaan parah, manakala empat tambahan penumpang termasuk seorang wanita mengalami kecederaan ringan.

Menurutnya, kesemua mereka tercedera dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut, manakala tiga mangsa lelaki maut dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua identiti mangsa kemalangan sedang dikenal pasti dan kenderaan dinaiki mereka dirampas untuk siasatan lanjut.

"Susulan itu, satu pasukan khas ditubuhkan bagi mengesan pemandu dan penumpang kenderaan yang menghilangkan diri setelah pemilik asal kenderaan SUV itu dikenal pasti," katanya.

Omar Bakhtiar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan kesemua penumpang warga Myanmar terbabit dalam kemalangan itu dipercayai cuba diseludup ke selatan semenanjung oleh sebuah sindiket.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, kenderaan jenis Nissan X-trail itu dipercayai berkeadaan seperti 'tin sardin' apabila dipenuhi 16 penumpang warga Myanmar secara bersesak-sesak.

"Kesemua mangsa yang kemalangan cedera ringan ditahan polis untuk siasatan lanjut, manakala mangsa cedera parah ditempatkan dalam wad.

"Kita tidak menolak kemungkinan kesemua mangsa warga Myanmar dipercayai cuba diseludup masuk ke negara ini ke selatan tanah air dari arah utara,"katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kereta seludup warga asing macam 'tin sardin'