Bekas ADUN Penanti meninggal dunia

Allahyarham Ahmad Saad
Allahyarham Ahmad Saad
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Bekas ADUN Penanti, Datuk Ahmad Saad meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini, awal pagi tadi.

Allahyarham Ahmad Saad yang sebelum ini juga pernah menyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh dikatakan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 2.15 pagi akibat sakit tua.

Difahamkan, Allahyarham juga menghidap angin ahmar sejak lapan tahun lalu dan kesan daripada penyakit itu menyebabkan beliau lumpuh sebelah badan serta terlantar di rumahnya di Jalan Baru, di sini.

Beliau yang berasal dari Kampung Bukit Indera Muda, Kubang Semang di Permatang Pauh dan pernah menjadi pegawai daerah Bukit Mertajam dari tahun 1976 hingga 1978.

Selain menjadi ADUN Penanti sejak 1991 hingga 1995, Allahyarham juga pernah menjadi ADUN Permatang Pasir pada 1995 sehingga 1999.

Beliau juga sebelum ini pernah dilantik mengetuai sayap Pemuda UMNO di negeri ini dan Exco Pemuda UMNO Malaysia.

Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Batik Malaysia Bhd; Presiden LBI Capital Bhd; Pengerusi Lembaga LBI Capital Bhd; Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Promto Bhd; Pengarah Federal Auto Holdings Bhd dan Patco (M) Bhd.

Jenazah dibawa ke rumahnya di Jalan Baru di sini, dan disolatkan di Masjid Jalan Baru dekat sini, pada jam 10 pagi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Panjang.

Artikel Berkaitan: