Penganggur diberkas bakar kereta Mufti Perlis

 Dr Mohd Asri
Dr Mohd Asri
A
A
A

ARAU - Polis menahan seorang lelaki dipercayai terbabit dengan kejadian bakar kereta Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, 22 Mac lalu.

Tangkapan dibuat sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di sebuah rumah di Kampung Jelempok, di sini, kira-kira jam 2.45 pagi tadi.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd berkata, sebuah telefon bimbit jenis Nokia telah dirampas daripada suspek berusia 36 tahun yang juga seorang penganggur itu.

Menurutnya, semakan kita mendapati suspek ini memiliki beberapa rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

"Hasil soalsiasat awal yang dijalankan, suspek mengaku terlibat dengan kes bakar kereta Mufti Perlis dengan bayaran upah RM500 bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas dikenali dengan panggilan Mee Tomoi yang tinggal di Kuala Perlis.

"Suspek dipercayai diupah oleh seorang lelaki berusia 33 tahun," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, hasil pendedahan suspek, terdapat lima orang lagi dipercayai terlibat dengan kes ini masih bebas yang mana tiga orang telah dikenal pasti.

Katanya, motif kejadian adalah susulan kejadian pemecatan imam pada Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya.

Terdahulu, Mohd Asri mendakwa kejadian kereta rasmi kegunaannya dibakar dalam satu kejadian di kediaman rasminya Jalan Persiaran Wawasan, Perlis, adalah satu aktiviti keganasan.

Untuk rekod, kejadian jenayah berbaur ugutan dan ancaman yang membabitkan golongan agamawan di Perlis adalah kali kedua sejak tahun lalu.