Harga barang ditentukan pasaran bukan kerajaan, kata Exco

Veerapan bersama penguatkuasa KPDNHEP Negeri Sembilan pada program walkabout Bazar Ramadan Stadium Tampin semalam.
Veerapan bersama penguatkuasa KPDNHEP Negeri Sembilan pada program walkabout Bazar Ramadan Stadium Tampin semalam.
A
A
A

TAMPIN - Kerajaan tidak mengawal harga semua barang di negara ini, sebaliknya ia ditentukan oleh faktor permintaan dan penawaran di pasaran, kata Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan.

Justeru, beliau berkata, orang ramai perlu memainkan peranan agar berbelanja dengan bijak dan menggunakan hak mereka sebagai pengguna.

"Memandangkan harga barangan tertakluk kepada pasaran terbuka, saya mengesyorkan supaya orang ramai menjadi pengguna bijak seperti membuat perbandingan harga sebelum membeli atau menggunakan aplikasi price catcher untuk menyemak harga barangan yang hendak dibeli," katanya pada program walkabout di Bazar Ramadan Stadium Tampin bersama penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan semalam.

Beliau berkata, pengguna juga dinasihatkan melaporkan sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah kepada KPDNHEP.

"Jika ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang mereka boleh membuat aduan kepada kementerian melalui pelbagai kaedah seperti hantar SMS ke 15888 dengan menaip 'KPDNHEP ADUAN' atau lapor atau hadir ke mana-mana pejabat KPDNHEP di Negeri Sembilan," katanya.

Sementara itu, Veerapan berkata, sebanyak enam notis amaran dikeluarkan oleh KPDNHEP Negeri Sembilan sehingga Khamis lalu hasil pemeriksaan mereka ke atas 1,246 premis bazar Ramadan di negeri itu.

Katanya, notis tersebut dikeluarkan berdasarkan kepada Pematuhan penandaan harga oleh peniaga Bazar Ramadan melalui Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993.

Artikel Berkaitan: