48 hotspot di 17 negara ambil bahagian World #QuranHour

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Education Malaysia, Dr Nur Aida Kipli berkata, antara negara terlibat adalah Amerika Syarikat, Indonesia, United Kingdom, Australia, Vietnam dan lain-lain.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Education Malaysia, Dr Nur Aida Kipli berkata, antara negara terlibat adalah Amerika Syarikat, Indonesia, United Kingdom, Australia, Vietnam dan lain-lain.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 48 hotspot di 17 buah negara dijangka mengambil bahagian dalam World #QuranHour di bawah kendalian Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi tahun ini.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Education Malaysia, Dr Nur Aida Kipli berkata, antara negara terlibat adalah Amerika Syarikat, Indonesia, United Kingdom, Australia, Vietnam dan lain-lain.

Beliau berkata, berdasarkan maklum balas daripada Education Malaysia di luar negara, program itu mendapat sambutan luar biasa bukan sahaja dalam kalangan pelajar malah kakitangan kerajaan dan agensi Malaysia serta komuniti setempat.

“Terdapat beberapa usaha di pihak Education Malaysia di luar negara yang bekerjasama dengan persatuan komuniti Muslim mengadakan kelas kuliah tajwid di masjid.

“Kita beri kepercayaan kepada 12 Pejabat Education Malaysia di luar negara untuk menyelaras dan memantau program berinteraksi dengan al-Quran.

“Selain Education Malaysia, pihak kedutaan Malaysia dan pesuruhjaya tinggi di luar negara turut memberikan komitmen menjayakan World #QuranHour,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Menurutnya, pihaknya mengambil inisiatif dengan membuat hebahan awal bagi memastikan lebih ramai turut serta dalam kempen World #QuranHour pada 30 Mei ini.

“Bahagian ini (Education Malaysia) buat hebahan awal kepada semua pihak berkepentingan seawal Syaaban lalu dan maklumat program dipromosikan secara kerap supaya dapat menarik seramai mungkin penyertaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mendedahkan Indonesia merupakan lokasi luar negara yang paling ramai penyertaan untuk World #QuranHour.