Demimu Harimau Malaya!

Pemain pasukan Johor Darul Takzim (JDT) Muhammad Safawi Rasid (dua, kiri) meraikan jaringan gol pertama pasukannya pada perlawanan Liga Super 2019 antara pasukan PKNS FC bertemu pasukan JDT di Stadium Shah Alam, semalam. - Foto Bernama
Pemain pasukan Johor Darul Takzim (JDT) Muhammad Safawi Rasid (dua, kiri) meraikan jaringan gol pertama pasukannya pada perlawanan Liga Super 2019 antara pasukan PKNS FC bertemu pasukan JDT di Stadium Shah Alam, semalam. - Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN sayap kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid tidak kisah untuk mengorbankan cuti Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini demi membantu skuad Harimau Malaya mencatat keputusan positif pada pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Pemain Johor Darul Ta’zim itu menyifatkan cuti singkat pada hari raya pertama diberikan pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, sudah memadai untuknya meluangkan masa bersama 13 ahli keluarga serta 17 anak saudara yang akan berkumpul di kampung halamannya di Dungun, Terengganu pada Aidilfitri nanti.

“Saya sudah pilih kerjaya sebagai pemain bola sepak, jadi inilah cabaran yang saya perlu tempuh di mana cuti pun tidak tentu tidak kira Hari Raya atau sambutan apa sekalipun.

“Sebagai pemain profesional, daripada awal lagi saya sudah jangka masa dengan keluarga tidak akan lama dan kali ini saya perlu korbankan waktu raya bersama mereka,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia, hari ini.

Muhammad Safawi yang menjadi nadi kejayaan Malaysia mara ke final Piala AFF Suzuki 2018 berkata, beliau fokus untuk menghadapi Timor Leste pada dua aksi pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 7 dan 11 Jun ini.

Cheng Hoe menyenaraikan 26 pemain ke kem latihan pusat skuad kebangsaan yang akan bermula 27 Mei ini, dengan beliau mengekalkan 14 daripada 25 pemain yang dipanggil ke sesi latihan pusat bagi menghadapi Kejohanan Bola Sepak Jemputan Piala Airmarine 2019, Mac lepas.

Sebelum menentang Timor Leste, skuad kebangsaan bakal menguji Nepal pada aksi pemanas badan di Stadium Nasional Bukit Jalil, 2 Jun ini.- Bernama

Artikel Berkaitan: