Sumbangan Ramadan kepada surau, masjid di Puchong

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo (lima, kanan) bergambar bersama sebahagian jemaah Surau Al Falah serta penduduk Taman Sri Andalas malam tadi.- Foto Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo (lima, kanan) bergambar bersama sebahagian jemaah Surau Al Falah serta penduduk Taman Sri Andalas malam tadi.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak RM87,000 diperuntukkan Parlimen Puchong sebagai sumbangan kepada masjid serta surau di bawah Parlimen berkenaan bagi menyemarakkan aktiviti sepanjang bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Puchong yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, peruntukan itu akan disalurkan secara berperingkat kepada 12 masjid yang masing-masing akan menerima RM2,000 dan 40 surau akan mendapat RM1,500.

Bagaimanapun Surau Al-Falah menerima peruntukan RM3,000 untuk membaiki bumbung.

“Ini buat kali pertama saya berikan peruntukan selaku Ahli Parlimen kerajaan kerana sedikit peruntukan diberikan oleh kerajaan Pusat. Sebelum ini tidak ada peruntukan sebegitu, jadi tak mampu beri sumbangan sebegini tetapi sekarang memang ada, kita salurkan sebanyak mana yang boleh untuk membantu.

“Ini bukan sekali sahaja, saya berhasrat sekiranya diizinkan setiap tahun saya akan tetap memberikan sumbangan dan bukan sekadar sumbangan Ramadan sahaja, saya bersedia berikan dalam bentuk apa jua cara yang boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada sebuah masjid dan tujuh surau dalam Parlimen Puchong sempena majlis Jamuan Moreh di Surau Al-Falah, Taman Seri Andalas, Seri Kembangan di sini malam tadi.

Gobind Singh berharap semua masjid dan surau yang menerima sumbangan tersebut dapat menggunakan peruntukan itu sebaiknya khususnya sempena menyambut bulan Ramadan dan Aidilfitri yang akan datang.

Jelas beliau, sekiranya mana-mana surau dan masjid di kawasan itu memerlukan lebih bantuan, mereka diminta menulis surat kepada sebagai prosedur wajib bagi memudahkan pihaknya menyalurkan sumbangan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Pengerusi Surau Al-Falah Rasedi Arof, menzahirkan rasa syukur dengan bantuan yang diberikan dan berharap dapat digunakan bagi mengimarahkan aktiviti di surau berkenaan.

“Ini pertama kali seorang menteri hadir di surau kami dan saya mengucapkan terima kasih atas sumbangan dan lawatan menteri yang tidak kekok untuk bergaul bersama masyarakat Melayu di kawasan ini,” katanya.

Pesara kerajaan Alwi Noorai, pula menyifatkan Gobind Singh seorang yang pemurah dalam memberi bantuan kepada masjid dan surau di kawasan itu walaupun sejak sebelum menjawat jawatan dalam Kabinet.

“Sebelum jadi menteri beliau memang sudah sedia banyak membantu dan telah melawat masjid dan surau beberapa kali termasuk memberikan sumbangan bagi memperbaiki bumbung di sebuah surau di sini,” katanya. - Bernama