'Sikit lagi budak ni nak kena langgar dengan lori'

Video berdurasi 7minit 32 saat mengenai seorang kanak-kanak perempuan yang berkeliaran di Puncak Alam tular dalam media sosial.
Video berdurasi 7minit 32 saat mengenai seorang kanak-kanak perempuan yang berkeliaran di Puncak Alam tular dalam media sosial.
A
A
A

PUNCAK ALAM - "Sikit lagi nak kena langgar...," demikian kata seorang penunggang motosikal yang 'menyelamatkan' kanak-kanak perempuan yang berkeliaran di Fasa 2, di sini.

Video yang berdurasi 7 minit 32 saat itu memperlihatkan rakaman awal seorang kanak-kanak perempuan yang terpinga-pinga mencari jalan pulang ke rumahnya.

Melihat kanak-kanak itu seolah-olah mahu terjun dari longkang besar, seorang lelaki yang dalam perjalanan ke tempat kerja terpaksa memberhentikan motosikalnya dan cuba menyelamatkannya.

Andaian awal yang beranggapan kanak-kanak itu mangsa culik berikutan ada luka kecil, lelaki itu terus bertanyakan kanak-kanak di mana ibunya.

Kanak-kanak yang lengkap berpakaian itu tangkas menjawab ibunya di tempat kerja dan menunjukkan arah rumah selepas ditanya soalan di mana rumahnya.

Apabila ditanya di mana ayahnya, kanak-kanak itu menjawab ayahnya ada di rumah dan sedang tidur.

"Babah kat rumah... dia tidur," katanya dan terus dibawa berjalan kaki menuju ke sebuah rumah dengan pintu pagar terbuka luas dan difahamkan ada kerja ubah suai sedang dijalankan.

Lelaki terbabit menjerit dari luar mencari bapa kepada kanak-kanak itu sebelum didatangi pekerja kontraktor rumah terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Macam mana boleh terlepas budak kecil ini di jalan raya? Ada lori hampir terlanggar dia, kalau saya tak hon, mesti lori tu... saya rasa budak ni dah tak ada," katanya bernada marah.

Tidak lama kemudian seorang lelaki datang dipercayai bapa kepada kanak-kanak terbabit dengan keadaan terkejut melihat anaknya berada di luar rumah.

Sebaik sahaja mendengar penjelasan lelaki terbabit, bapa kanak-kanak terbabit terkedu dan memandang ke arah anaknya tanpa sebarang kata.

"Tolong perhatikan betul-betul. Abang dekat luar ni pun sama, nampak budak kecil dekat luar jangan halang macam tu saja... bawa masuk dalam. Tolong bertanggungjawab sikit," katanya.

Bapa terbabit turut bertanyakan anaknya kenapa keluar rumah tanpa maklum dan jawabnya mahu mencari ibunya.

"Mana ada umi.... umi kerja. Kena duduk dengan babah," katanya yang turut berterima kasih kepada lelaki terbabit sebelum membawa masuk anaknya ke dalam rumah.

Susulan video yang tular itu, satu laporan polis dibuat dan kertas siasatan dibuka di bawah Sek 33 Akta Kanak-Kanak 2001.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, siasatan dibuka atas kesalahan membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan.

"Pada 15 Mei lalu, pihak polis mengesan satu video tular mengenai seorang kanak-kanak perempuan yg didapati berjalan seorang diri di tepi jalan raya di Puncak Alam Fasa 2.

"Kanak-kanak ini dijumpai seorang lelaki dan kemudiannya menghantar kembali kepada bapanya yang dikatakan sedang tidur di rumah.

"Keluarga kanak-kanak ini diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh dan berjumpa dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Samri Abd Hamid untuk siasatan lanjut dijalankan," katanya.