853 bazar Ramadan diperiksa KPDNHEP Pahang

Gambar hiasan - Foto Bernama (Gambar kecil: Mohd Suffian)
Gambar hiasan - Foto Bernama (Gambar kecil: Mohd Suffian)
A
A
A

KUANTAN- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang telah melakukan pemeriksaan ke atas 853 premis bazar Ramadan seluruh daerah ini sejak Isnin lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Mohd Suffian Mohd Abass berkata, pemeriksaan itu membabitkan seramai 160 pegawai dan anggota penguat kuasa dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan agensi berkaitan lain.

"Pemeriksaan ini dijalankan bagi memastikan semua peniaga mematuhi peraturan ditetapkan, terutamanya membabitkan tanda harga.

"Selain itu, tumpuan juga diberikan kepada aspek pematuhan peraturan lain seperti ditetapkan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Suffian berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima aduan berkaitan kenaikan harga yang tidak munasabah membabitkan barangan makanan atau barangan lain seperti pakaian di bazar Ramadan sekitar daerah ini.

"Kita menggunakan pendekatan berhemah ketika melakukan pemeriksaan dengan menasihatkan peniaga atau pemilik premis untuk mematuhi semua peraturan ditetapkan.

"Selain melakukan pemantauan dan pemeriksaan di bazar Ramadan, pegawai dan anggota kita juga melakukan pemeriksaan di pasar raya serta premis perniagaan lain, termasuk stesen minyak sekiranya menerima aduan daripada pengguna," katanya.

Artikel Berkaitan: