Tiga rumah hangus sekelip mata

Keadaan salah sebuah rumah mangsa yang sedang terbakar dijilat api di Bagan Seberang, Kuala Kurau semalam.
Keadaan salah sebuah rumah mangsa yang sedang terbakar dijilat api di Bagan Seberang, Kuala Kurau semalam.
A
A
A

KUALA KURAU - Api yang merebak pantas dipercayai menjadi punca tiga rumah di Kampung Bagan Seberang di sini hangus dalam kejadian kebakaran lewat petang semalam.

Seorang mangsa, Ng Kean Yeah,44, berkata, kebakaran bermula jam 6 petang itu memusnahkan keseluruhan kediamannya bersama dua lagi rumah jiran sehingga nyaris meragut nyawa ibunya yang berehat di dapur.

"Ketika kejadian saya sekeluarga tiada di rumah tapi ibu yang berusia 70 tahun tinggal bersendirian. Sedang dia berehat, tiba-tiba dia terdengar bunyi letupan bertalu-talu di bahagian tepi rumah sebelum terlihat api marak dari arah tengah rumah.

"Mujur ibu masih larat, dia dapat melarikan diri walaupun kejadian berlaku terlalu pantas sehinggakan tiada harta benda termasuk kereta dan motosikal dapat diselamatkan. Kami anggarkan kerugian dialami berjumlah lebih RM200,000," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan awal kerajaan Perak kepada tiga keluarga mangsa kebakaran di Kampung Bagan Seberang di sini hari ini.

Majlis penyerahan sumbangan awal RM500 bagi setiap keluarga disampaikan Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari.

Abdul Yunus (tengah) menyerahkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian daripada kerajaan Perak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada Kean Yeah (dua dari kanan) dan dua wakil keluarga mangsa kebakaran lain di Bagan Seberang hari ini.
Abdul Yunus (tengah) menyerahkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian daripada kerajaan Perak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada Kean Yeah (dua dari kanan) dan dua wakil keluarga mangsa kebakaran lain di Bagan Seberang hari ini.

Selain itu, kesemua keluarga itu turut menerima sumbangan tambahan RM300 berserta barangan keperluan harian termasuk cadar, tikar dan pakaian.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kurau, Penguasa Bomba Mohamed Habib Mohamed Dali berkata, maklumat kejadian diketahui selepas menerima panggilan jam 6.09 petang.

"Sebaik sahaja tiba di lokasi kami mendapati kebakaran membabitkan tiga rumah papan dan dua daripadanya musnah sepenuhnya.

"Kami yang dibantu anggota BBP Bagan Serai seramai enam orang dan lima bomba sukarela berjaya memadamkan sepenuhnya api dalam tempoh lebih sejam. Tiada mangsa terlibat dan punca kebakaran masih disiasat forensik bomba," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Yunus ketika melawat keluarga mangsa kebakaran menyuarakan kesedihan terhadap tragedi itu dan pihaknya mewakili kerajaan Perak menyerahkan sumbangan awal.

"Sumbangan bernilai RM500 diberikan kepada setiap keluarga dan kita berjanji akan memberi bantuan susulan bagi meringankan beban ditanggung mereka," katanya.