JPJ beri dua bulan selesai kompaun cermin gelap

Zulkarnain (tengah) melihat anggotanya memeriksa ketelusan cermin gelap sebuah kenderaan di Ibu Pejabat JPJ Kuala Terengganu pada Selasa.
Zulkarnain (tengah) melihat anggotanya memeriksa ketelusan cermin gelap sebuah kenderaan di Ibu Pejabat JPJ Kuala Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi tempoh dua bulan kepada pemandu atau pemilik berdaftar kenderaan yang melanggar peraturan cermin gelap untuk melunaskan bayaran kompaun.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, kadar kompaun bagi setiap kesalahan cermin gelap bagi tempoh satu hingga 15 hari (RM100), 16 hingga 30 hari (RM150), 31 hingga 60 hari (RM250).

"Sekiranya bayaran kompaun tidak diselesaikan dalam tempoh dua bulan, kes akan dibawa ke mahkamah mengikut peraturan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 (Pindaan 2019).

"Mereka yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi tempoh enam bulan bagi kesalahan pertama.

"Bagi kesalahan berikutnya denda tidak melebihi RM4,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali," katanya pada sidang akhbar selepas majlis lelongan awam siri 2/2023 di sini pada Selasa.

Menurutnya, kadar ketelusan cahaya (VLT) bagi cermin kenderaan yang dibenarkan ialah 70 peratus cermin depan, 50 peratus cermin sisi kenderaan kiri dan kanan pemandu serta cermin bahagian belakang dan cermin belakang kosong peratus.

Bagaimanapun katanya, kelonggaran diberikan kepada individu yang mempunyai alasan kukuh melibatkan faktor keselamatan atau kesihatan.

"Selaras dengan peraturan penggunaan cermin gelap kepada kenderaan persendirian, mana-mana individu atas faktor keselamatan atau kesihatan boleh memohon kelulusan untuk menggunakan cermin gelap," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan rekod, JPJ Terengganu telah mengeluarkan 42,149 notis kesalahan melibatkan cermin gelap sejak 2019.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 5,867 kesalahan direkodkan pada 2019; 7,847 (2020); 11,525 (2021); 9,466 (2022) dan 7,444 kesalahan sehingga Ogos tahun ini," katanya.

Terdahulu, sebanyak 62 kenderaan dilelong melibatkan kenderaan disita pada 2021 ke bawah dengan nilai keseluruhan harga rizab sebanyak RM213,940.