Ingkar peraturan cermin gelap boleh didenda, penjara - JPJ

JPJ tidak akan berkompromi terhadap pemandu atau pemilik kenderaan yang gagal mematuhi peraturan penggunaan cermin gelap yang ditetapkan. - Foto fail Bernama
JPJ tidak akan berkompromi terhadap pemandu atau pemilik kenderaan yang gagal mematuhi peraturan penggunaan cermin gelap yang ditetapkan. - Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pemandu atau pemilik berdaftar kenderaan yang melanggar peraturan cermin gelap boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan bagi kesalahan pertama.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu kenyataan berkata, bagi sabitan berikutnya pula, denda tidak melebihi RM4,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, Kementerian Pengangkutan melalui JPJ pada Mei 2019 telah memperkenalkan peraturan baharu mengenai pemakaian cermin gelap kepada kenderaan persendirian.

"Peraturan baharu tersebut telah diwartakan di bawah Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 (Pindaan 2019).

"Peraturan-peraturan tersebut telah menetapkan bahawa Kadar Ketelusan Cahaya (VLT) bagi cermin kenderaan yang dibenarkan ialah Subkaedah (1) iaitu cermin hadapan kenderaan 70 peratus, Subkaedah (3), cermin tepi sisi kiri kanan pemandu 50 peratus dan Kaedah 12(1)(b), cermin sisi bahagian belakang dan cermin belakang 0 peratus," katanya pada Jumaat.

Tambah kenyataan itu, JPJ tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas kepada pemandu atau pemilik kenderaan yang gagal mematuhi peraturan penggunaan cermin gelap yang ditetapkan.

Ujarnya, berdasarkan rekod, JPJ telah mengeluarkan sebanyak 108,428 notis kesalahan yang melibatkan cermin gelap sejak tahun 2019.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 17,218 telah dikenakan saman JPJ(P)22," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, kata JPJ, selaras dengan peraturan penggunaan cermin gelap kepada kenderaan persendirian, mana-mana individu atas faktor keselamatan atau kesihatan boleh memohon kelulusan untuk menggunakan cermin gelap dengan cara memohon melalui pos atau portal JPJ www.jpj.gov.my.

"Sehingga kelulusan diperoleh, mana-mana individu hendaklah mematuhi peraturan yang sedang berkuat kuasa.

"JPJ juga ingin menasihati orang awam supaya sentiasa mematuhi peraturan-peraturan sedia ada yang telah ditetapkan," ujarnya.

Jelas JPJ, orang awam digalakkan untuk memberi kerjasama kepada pihaknya sekiranya terlihat kenderaan yang tidak mematuhi peraturan ini dengan menyalurkan aduan secara langsung melalui e-Aduan@JPJ di aplikasi MyJPJ.