Keberkesanan langkah tangani impak kejatuhan ringgit dibangkitkan di Dewan Rakyat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keberkesanan langkah kerajaan dalam menangani impak kejatuhan nilai ringgit yang semakin merudum berbanding dolar Amerika, merupakan antara isu yang akan dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, perkara itu akan dibangkitkan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) dalam sidang dewan yang memasuki hari kedua.

Pada sesi sama, Tan Kar Hing (PH-Gopeng) pula meminta Perdana Menteri menyatakan hasil lawatan ke luar negara termasuk hasil pelaburan, kerjasama antara negara dan tahap keyakinan pelaburan asing terhadap Malaysia.

Perdana Menteri juga akan menjawab persoalan yang diajukan Datuk Seri Dr Jeffrey Gapari Kitingan (GRS-Keningau), berhubung fokus kerajaan dan dana untuk memesatkan pembangunan dan ekonomi Sabah dan Sarawak, susulan pemindahan ibu negara Indonesia, Nusantara ke Kalimantan Timur.

Sementara itu pada sesi jawab lisan, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) meminta Menteri Pendidikan Tinggi, menyatakan adakah kementerian itu berhasrat untuk meneliti dan mengkaji semula syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi golongan orang kurang upaya (OKU), termasuk jurusan undang-undang dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Selain itu, Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) pula, meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan adakah kementerian itu berhasrat untuk membina lebih banyak pusat pendidikan teknik dan vokasional, khusus untuk pelajar OKU selepas tamat sekolah menengah.

Selesai sesi itu, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan bacaan kali yang pertama Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 dan Rang Undang-Undang Syarikat (Pindaan) 2023.

Persidangan kali ini berlangsung selama 32 hari sehingga 30 November. - Bernama

Artikel Berkaitan: