FAM tetap perlu hukum Yazan

Laporan Sinar Harian pada 3 Oktober lalu. Gambar kecil: Subkhiddin
Laporan Sinar Harian pada 3 Oktober lalu. Gambar kecil: Subkhiddin
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap perlu mengenakan hukuman terhadap bekas tonggak pertahanan Selangor FC, Yazan Al-Arab biarpun pemain itu telah ditamatkan kontrak kelab tersebut.

Bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Subkhiddin Mohd Salleh berkata, perbuatan itu harus diambil tindakan oleh FAM sebagai pengajaran kepada pemain lain.

"Sudah pasti FAM akan dan perlu mengambil tindakan sekalipun kontrak telah ditamatkan.

"Kejadian berlaku semasa Yazan masih lagi bermain di bawah bendera Selangor dan dikawal selia oleh FAM," katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Insiden Yazan menendang pengadil perlawanan, Mohd Hasrol Mohd Amir itu berlaku selepas tamat perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Terengganu FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 24 September lalu.

Video Yazan menendang pengadil itu juga tular di media sosial yang menyaksikan pemain import dari Jordan itu terlebih dahulu berkata sesuatu sebelum menolak Mohd Hasrol, sekali gus dia dilayangkan kad merah.

Kemudian, Yazan dilihat menendang Mohd Hasrol sebelum dia ditenangkan oleh rakan sepasukan.

Selangor telah mengambil tindakan menamatkan kontrak Yazan selepas satu prosiding tatatertib dijalankan pasukan itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Subkhiddin, langkah Selangor itu tepat selain beliau turut mencadangkan agar ada klausa diletakkan dalam kontrak pemain sekiranya menyerang pengadil.

"Saya fikir ia boleh menjadi satu amaran kepada mana-mana pemain dan model kepada pasukan yang boleh dimasukkan kedalam kontrak mereka pada masa hadapan sekiranya belum mempunyai ikatan seperti itu," katanya.