KPKM, MAFFI berhasrat jadikan Sabah negeri jelapang padi

Foong Hin (tengah) memeriksa harga beras putih import yang kini dijual di pasaran dengan harga baharu di Sabah.
Foong Hin (tengah) memeriksa harga beras putih import yang kini dijual di pasaran dengan harga baharu di Sabah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah merancang untuk melakukan program pembangunan bersama untuk mewujudkan Sabah sebagai sebuah negeri jelapang padi.

Timbalan Menteri KPKM, Datuk Chan Foong Hin berkata, itu antara langkah bagi meningkatkan pengeluaran beras negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga mengatakan bahawa beliau sedang mengenal pasti tanah seluas 55,000 hektar di Sabah dan Sarawak untuk penanaman padi sawah ini.

"Kementerian saya menyambut baik tentang cadangan ini dan Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu mengatakan sendiri bahawa ada baiknya kalau Sabah dan Sarawak juga berkembang sebagai negeri jelapang padi untuk Malaysia kerana sekarang ini terlalu tertumpu di kawasan utara Semenanjung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau harga beras putih import yang baharu di pasar raya Kota Kinabalu pada Sabtu.

Tambah beliau, Sabah dan Sarawak sebenarnya memainkan peranan penting dalam konteks pengeluaran produk negara, namun ketika ini hanya sekitar tiga atau empat peratus sahaja sebahagian daripadanya.

"Ini sangat rendah. Jadi sudah tentu melalui kerjasama pihak MAFFI yang diketuai Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan saya bertemu dengannya dalam sebuah persidangan baru-baru ini di mana kedua-dua kementerian ini memang berhasrat untuk melakukan program pembangunan bersama untuk mewujudkan jelapang padi di Sabah dan Sarawak," katanya.

Selain itu, Foong Hin berkata, pelaksanaan program Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) di Kota Belud dan Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) juga dilihat mula menunjukkan hasil yang positif.

Artikel Berkaitan:

"Cara untuk meningkatkan pengeluaran padi di Sabah dan Sarawak sudah lama kita bincangkan dan kita ada IADA di Kota Belud di mana saya lihat dua tahun kebelakangan ini ada sedikit kemajuan.

"Selain itu ada program Smart SBB di mana syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang menyertai program ini merupakan perintis untuk Smart SBB dan hasilnya telah meningkat dua kali ganda," katanya.

Foong Hin berkata, menerusi Smart SBB ini syarikat besar digalakkan mengeluarkan modal untuk memberikan jentera dan jentuai kemudian pihak pesawah perlu ikut cara yang disyorkan oleh mereka bagaimana untuk menanam dan menuai padi.

"Pesawah tidak akan bimbang keuntungan akan ditekan harganya oleh syarikat tersebut. Cuma program Smart SBP ini belum dijalankan secara besar-besaran di Sabah ini," katanya.