Hanya individu berkelayakan boleh tafsir ayat al-Quran

JANGAN mentafsirkan kalam ALLAH sesuka hati tanpa ilmu kerana ia perbuatan yang dilarang keras dalam Islam. -Foto: 123rf
JANGAN mentafsirkan kalam ALLAH sesuka hati tanpa ilmu kerana ia perbuatan yang dilarang keras dalam Islam. -Foto: 123rf
A
A
A

PERBUATAN mentafsirkan al-Quran dengan pendapat sendiri dalam keadaan seseorang itu tidak layak termasuk dalam kategori berkata ke atas ALLAH SWT tanpa ilmu.

Bukan itu sahaja, individu bukan Islam yang melakukan sedemikian sewenang-wenangnya tanpa ilmu juga dikira menghina dan mempermainkan kesucian al-Quran.

Disebabkan itu, Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Universiti Teknologi Mara, Cawangan Selangor, Ustazah Noor Rashidah A Rahman mengingatkan orang awam supaya tidak berbuat demikian jika tiada kelayakan.

USTAZAH NOOR RASHIDAH
USTAZAH NOOR RASHIDAH

Ia perbuatan yang dilarang sama sekali dilakukan dalam Islam.

ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya ia (syaitan) menyuruh kamu melakukan perkara yang buruk lagi keji. Serta menyuruh kamu berkata kepada ALLAH SWT akan sesuatu yang kamu tidak ketahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 169)

“Jelas sekali larangan keras diberikan kepada individu mentafsirkan al-Quran menurut fahamannya sendiri tanpa ada sebarang ilmu berkaitan tafsir kalam ALLAH itu.

Artikel Berkaitan:

“Apatah lagi jika tujuan pentafsiran tersebut dibuat untuk kepentingan peribadi mahupun organisasi,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Tidak seperti bidang pengetahuan yang lain, pendakwah itu menjelaskan, tafsir al-Quran merupakan disiplin ilmu untuk memahami kitab ALLAH SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.

“Ia turut berkait dengan penjelasan makna-maknanya dan pengeluaran hukum-hakam serta hikmahnya.

“Dalam mentafsirkan al-Quran, hanya individu yang berkelayakan dengan sifat-sfat tertentu sahaja boleh untuk berbuat demikian.

“Mereka yang tiada kebolehan berkenaan dilarang sama sekali untuk mentafsirkan kalamullah,” tegasnya.

ALLAH SWT memerintahkan hamba-NYA agar sentiasa mentadabbur ayat-ayat-NYA sebagai satu usaha untuk memahami kalam-NYA dengan baik. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf
ALLAH SWT memerintahkan hamba-NYA agar sentiasa mentadabbur ayat-ayat-NYA sebagai satu usaha untuk memahami kalam-NYA dengan baik. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Tadabbur ayat-ayat al-Quran

Sebagai orang awam, Ustazah Noor Rashidah menitipkan pesanan agar kita mengambil dan mengikuti tafsir-tafsir yang telah dilakukan para sahabat, tabi’ dan tabiin serta ulama-ulama terdahulu.

Semua itu bagi mengelakkan diri daripada terjerumus kepada penghuraian ayat-ayat al-Quran mengikut fahaman dan akal fikiran sendiri yang dangkal lagi cetek, terangnya.

“Apalagi jika mentafsirkan ayat al-Quran mengikut selera hawa nafsu sendiri ataupun mempunyai kepentingan peribadi ataupun organisasi,” ungkapnya.

Ini kerana, katanya, al-Quran merupakan kalam ALLAH yang diturunkan kepada kita melalui Nabi Muhammad SAW untuk dijadikan panduan, iktibar dan pengajaran sepanjang hayat kita.

“Bahkan, ALLAH SWT memerintahkan kita agar sentiasa mentadabbur ayat-ayat-NYA sebagai satu usaha untuk memahami kalam-NYA dengan baik,” katanya.

Firman ALLAH SWT: “(Inilah) Kitab yang telah KAMI turunkan kepada kamu (wahai Muhammad) supaya mereka mentadabbur ayat-ayatnya dan supaya golongan ulul albab mengambil peringatan.” (Surah Sodd, ayat 29)

Siapakah individu yang layak mentafsirkan al-Quran dan apakah justifikasinya?

Menjawab persoalan itu, Ustazah Noor Rashidah menjelaskan, terdapat dua cara menghuraikan kalamullah berkenaan.

Pertamanya adalah dengan mentafsir menggunakan al-Quran, as-Sunnah dan pendapat-pendapat para sahabat serta tabiin, ungkapnya.

Sebagai orang awam, ambil dan ikuti tafsir-tafsir yang telah dilakukan para sahabat, tabi’ dan tabiin serta ulama-ulama terdahulu. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf
Sebagai orang awam, ambil dan ikuti tafsir-tafsir yang telah dilakukan para sahabat, tabi’ dan tabiin serta ulama-ulama terdahulu. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

“Satu lagi cara adalah menerusi tafsir dengan ijtihad, tetapi ia memerlukan kepada beberapa syarat yang telah diletakkan oleh para ulama kepada individu yang mentafsir.

“Syarat-syaratnya adalah mereka perlu menguasai ilmu bahasa Arab, Nahu, Sorof, Balaghah, Qira’at, Usuluddin, Fiqh, Usul Fiqh, Asbab an-Nuzul, Nasikh dan Mansukh serta ilmu hadis.

“Bukan itu sahaja, individu berkenaan juga perlu menguasai dan tahu ayat-ayat Makki dan Madani, ayat-ayat Muhkamat dan Mutasyabihat, ayat-ayat khas dan am serta ayat Mutlaq dan Muqayyad,” katanya.