Anwar perlu lepas jawatan Menteri Kewangan - Razali

Razali
Razali
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melepaskan jawatan sebagai Menteri Kewangan kerana didakwa gagal menyelesaikan masalah kenaikan kos sara hidup yang menghimpit rakyat ketika ini.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris mendakwa sehingga kini tiada usaha dan arah tuju yang jelas dilakukan kerajaan untuk mengatasi masalah berkenaan.

"Tak nampak ada usaha dilakukan ke arah untuk menstabilkan harga barang atau redakan keresahan rakyat sebab barang (keperluan asas) tak ada (dalam pasaran).

"Kalau MCA rakan sekutu pun beri desakan kepada dia (Anwar) letak jawatan sebagai Menteri Kewangan, kita sebagai pembangkang lebih dari itu (letak jawatan Perdana Menteri)," katanya kepada pemberita di sini.

Pada Selasa lepas, MCA menggesa Anwar melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kewangan untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran negara.

Jurucakap parti itu, Mike Chong berkata, Anwar perlu melantik Menteri Kewangan kedua yang boleh memberi tumpuan kepada hal-hal ekonomi sekali gus membolehkan beliau memberi tumpuan kepada urusan pentadbiran negara.

Mengulas lanjut, Razali berkata, tiada keperluan untuk melakukan rombakan jemaah menteri pada masa ini.

"Ia bukan perlu rombakan kabinet, Anwar perlu letak jawatan sebagai Perdana Menteri. Rombak-rombak ini serupa tukar kembali benda sama.

Artikel Berkaitan:

"Dia letak jawatan bagi membolehkan rakyat untuk pilih baharu sebab dia memang dah gagal teruk. Tak pernah sejarah duit kita jatuh paras lebih RM4.70.

"Harga barang naik sebab mata wang kita rendah dan tiada usaha dilakukan (atasi masalah). Jadi Anwar kena letak jawatan," tegasnya.