Wakaf tunai dengan PWS dapat pelepasan cukai

Anuar (tengah) bersama Fazrul (kanan) sebagai panelis pada program Sinar Live bertajuk 'Kenapa perlu berwakaf' yang dihoskan Haizir pada Khamis.
Anuar (tengah) bersama Fazrul (kanan) sebagai panelis pada program Sinar Live bertajuk 'Kenapa perlu berwakaf' yang dihoskan Haizir pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menggalakkan syarikat swasta untuk berwakaf secara wakaf tunai dengan pihaknya kerana akan menikmati pelbagai kelebihan termasuk memperoleh pelepasan cukai pendapatan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Anuar Hamzah Tohar berkata, setakat ini PWS menjadi satu-satunya institusi wakaf di negara ini yang menawarkan pelepasan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada pewakaf di bawah Subseksyen 44(11D) Akta Cukai Pendapatan 1967.

"Sehingga kini ada beberapa syarikat sahaja yang menyumbang dalam bentuk wakaf tunai dan sumbangan pula hanya dalam jumlah yang kecil kerana kebanyakan syarikat korporat menyumbang dalam bentuk wakaf khas.

"Jadi saya yakin jika syarikat-syarikat swasta mainkan peranan mereka, jumlah kutipan wakaf (tunai) akan lebih tinggi dan dapat kita salurkan untuk manfaat umat Islam," katanya selaku panelis pada program Sinar Live bertajuk 'Kenapa perlu berwakaf' pada Khamis.

Anuar Hamzah Tohar
Anuar Hamzah Tohar

Program yang turut menampilkan Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail sebagai panelis bersama itu dihoskan Haizir Othman.

Mengulas lanjut, Anuar memberitahu, beliau difahamkan terdapat beberapa lagi majlis agama Islam negeri yang dalam proses untuk mendapatkan pelepasan cukai di bawah Subseksyen 44(11D) Akta Cukai Pendapatan 1967 itu.

Menurutnya, PWS juga akan mengembalikan semula sebanyak 33 peratus nilai wakaf tunai yang disalurkan kepada mereka oleh syarikat swasta atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Artikel Berkaitan:

"Mesyuarat lembaga PWS baru-baru ini telah bersetuju supaya 33 peratus daripada wakaf tunai itu disalurkan semula kepada syarikat yang berwakaf dan ini boleh dibuat dalam bentuk aset.

"Ia supaya syarikat-syarikat berkenaan boleh menyumbang kepada mana-mana institusi yang mereka mahu," ujarnya.

Beliau menegaskan, apa yang lebih penting amalan berwakaf itu memberikan keberkatan harta kerana ia merupakan amalan jariah yang pahalanya berpanjangan.

Perlukan dana RM200 juta untuk bangunkan projek

Kata Anuar, PWS sangat mengalu-alukan syarikat swasta atau korporat untuk berwakaf secara wakaf tunai juga kerana pihaknya memerlukan dana yang besar iaitu hampir RM200 juta bagi melaksanakan beberapa projek yang telah dirancang.

"Antara projek itu ialah pembangunan pusat wakaf yang akan menjadi tempat kepada seluruh umat Islam di Selangor untuk mewakafkan barang-barang atau harta alih milik mereka yang masih boleh digunakan.

"Contohnya, kalau nak wakafkan kipas, biarlah ia masih berkeadaan baik. Bila barang-barang itu diletakkan di pusat wakaf berkenaan, orang boleh datang ambil," tambahnya.

Anuar memaklumkan, PWS juga dalam proses untuk membangunkan 'wisdom city' atau bandar bijaksana di Seksyen 7, Shah Alam yang memiliki maahad integrasi tahfiz di mana pelajar-pelajarnya akan dididik dan dilatih untuk menyambung pengajian ke universiti terkemuka dunia iaitu Universiti Oxford dan Universiti Cambridge.

"Seterusnya kita nak bangunkan satu stesen minyak di tanah wakaf di Bangi dan beberapa lagi projek lain.

"Selain syarikat, kita galakkan individu perseorangan untuk berwakaf secara tunai ini. Mereka mungkin tidak perlu wakaf dalam jumlah banyak tetapi boleh serendah RM1 contohnya dalam bentuk potongan gaji," ulasnya.

Justeru itu, mana-mana syarikat swasta, GLC dan individu yang mahu berwakaf tunai boleh melayari laman sesawang PWS di www.wakafselangor.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Kutip RM400 juta wakaf, RM1.6 bilion nilai tanah

Sementara itu, Anuar berkata, PWS telah mengutip hampir RM400 juta dalam bentuk wakaf khas, wakaf tunai serta manfaat wakaf dan dengan nilaian harta tidak alih iaitu tanah hampir RM1.6 bilion sejak perbadanan itu ditubuhkan pada 2011.

"Untuk tahun lalu sahaja kita kutip hampir RM64 juta dalam bentuk wakaf khas, wakaf tunai dan manfaat wakaf itu serta kita dah agihkan semula menerusi pelaksanaan dan agihan sumbangan.

"Kita juga ada sumbangan Fisabilillah daripada wakaf tunai. Untuk tahun lepas sahaja, kita telah salurkan sebanyak RM1.2 juta kepada maahad tahfiz dan institusi lain yang memerlukan contohnya untuk mereka baik pulih surau yang rosak," tambah beliau.

Kongsinya lagi, peruntukan yang disalurkan itu hasil kutipan wakaf tunai yang dilakulan di masjid dan surau yang mungkin kelihatan kecil namun dana wakaf yang terkumpul sangat besar hingga boleh disumbang semula kepada masyarakat Islam Selangor.