Jamal pula desak Zahid berundur

Rakaman video yang memaparkan kenyataan Jamal berhubung pendirian Umno Bahagian Sungai Besar.
Rakaman video yang memaparkan kenyataan Jamal berhubung pendirian Umno Bahagian Sungai Besar.
A
A
A
SUNGAI BESAR - Umno Bahagian Sungai Besar mendesak Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur bagi memulihkan semula parti itu.

Ketua Bahagiannya, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, keputusan itu dibuat selepas Ahmad Zahid gagal memulihkan keyakinan dan kepercayaan ahli parti berkenaan.

"Sebelum itu, saya ingin menegaskan Umno Bahagian Sungai Besar merupakan penyokong kuat kepada Presiden (Ahmad Zahid).

"Tetapi, melihat situasi politik masa kini, saya mengumumkan untuk menarik kembali sokongan itu," katanya dalam satu video yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook (FB).

Beliau berkata, tuduhan yang dikenakan terhadap Ahmad Zahid disifatkan sebagai tuduhan bermotifkan politik.

"Memang ada yang mengatakan baru tujuh bulan (menjadi pembangkang), tetapi dalam tempoh itu, saya tidak menyalahkan mana-mana Ahli Parlimen mahu pun beliau (Ahmad Zahid).

"Malah, saya tidak menyatakan kelemahan beliau (Ahmad Zahid). Tetapi, keadaan yang berlaku ketika ini perlu diambil kira.

"Sepatutnya, presiden yang juga merangkap pengerusi BN perlu mengambil langkah proaktif untuk menghalang perkara ini (tuduhan) dari berlaku secara berterusan," katanya.

Jamal memberitahu, kekalahan yang berlaku kepada BN dalam PRU14 lalu seharusnya dijadikan pengajaran kepada akar umbi parti itu.
Artikel Berkaitan:


"Kami mengharapkan presiden melakukan sesuatu. Kalau ingin menjadi pembangkang, kita akan menjadi pembangkang yang kuat dan baik demi kebaikan negara dan rakyat.

"Melihat senario Ahli Parlimen keluar parti dan ditambah ketua bahagian dan bekas pemimpin yang turut keluar, tidak mustahil isu seperti Umno Sabah akan berlaku di negeri lain," katanya.

Beliau berkata, kepercayaan itu kini diserahkan kepada Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohammad Hassan dan kepimpinan tertinggi parti.