Dasar Peluang Kedua sasar pelepasan 130,000 orang bankrap

Azalina Othman Said
Azalina Othman Said
A
A
A

PUTRAJAYA - Dasar Peluang Kedua menyasarkan pelepasan sehingga 130,000 orang bankrap bagi tempoh setahun berikutan Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 (A1695) dikuat kuasa bermula hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, melalui pelaksanaan Akta A1695 juga, tadbir urus kebankrapan ditambah baik dengan penggunaan teknologi komunikasi jarak jauh bagi pengendalian mesyuarat pemiutang dan penyerahan notis dan dokumen pentadbiran kebankrapan secara komunikasi elektronik.

"Sebagai inisiatif untuk mempercepat pentadbiran kebankrapan, kewajipan Ketua Pengarah Insolvensi untuk mengadakan mesyuarat pertama pemiutang kini dimansuhkan," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Ujar beliau bagi memelihara kebajikan bankrap, Akta A1695 turut membuat semakan had nilai harta bankrap yang boleh dikecualikan daripada dibahagikan dalam kalangan pemiutang dan had nilai bagi maksud kelayakan kes untuk ditadbir secara pentadbiran ringkas.

"Penguatkuasaan Akta A1695 ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada golongan rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan negara," jelasnya.

Pada 10 Mac lalu, jemaah menteri bersetuju dengan cadangan pindaan kepada Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] yang merupakan hasil daripada pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan termasuklah Jabatan Peguam Negara, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPM), Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) dan Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia.

Pindaan utama adalah berhubung dengan penambahbaikan peruntukan pelepasan bankrap.

Seksyen 33C Akta 360 dipinda bagi membantu pelepasan bankrap secara automatik dalam tempoh masa tiga hingga lima tahun dari tarikh bankrap menyerahkan pernyataan hal ehwalnya.

Subseksyen 33B(2A) Akta 360 berkenaan dengan kategori bankrap yang boleh dilepaskan melalui sijil Ketua Pengarah Insolvensi tanpa melalui prosedur bantahan pemiutang turut dipinda untuk menambah dua kategori baharu.

Artikel Berkaitan:

Ia melibatkan bankrap yang tidak boleh mengurus diri dan hal ehwalnya disebabkan oleh sakit mental mengikut takrifan di bawah Akta Kesihatan Mental 2001 [Akta 615] dan bankrap berusia 70 tahun dan ke atas yang pada pendapat dan budi bicara Ketua Pengarah Insolvensi tidak berupaya untuk menyumbang kepada pentadbiran kebankrapan.

Selaras dengan objektif Dasar Peluang Kedua, pindaan kepada seksyen 33C dan subseksyen 33B(2A) Akta 360 dikuatkuasakan secara retrospektif kepada kes kebankrapan yang ditadbir sebelum permulaan kuat kuasa Akta A1695.