Betulkah 'non-Muslim' boleh ziarah kubur orang Islam?

KETAHUI hukum orang bukan Islam memasuki tanah perkuburan dan ziarah pusara Muslim. -Gambar hiasan/ Foto: Bernama
KETAHUI hukum orang bukan Islam memasuki tanah perkuburan dan ziarah pusara Muslim. -Gambar hiasan/ Foto: Bernama
A
A
A

KASIH ibu bapa terhadap anaknya atau sebaliknya tiada penghujungnya walaupun berbeza agama. Ia sekalipun jasad masing-masing sudah tiada lagi di dunia ini.

Masakan tidak, hubungan darah mereka tidak akan putus begitu sahaja.

Demikianlah senario yang dapat disaksikan menerusi perbuatan sepasang suami isteri berbangsa Cina yang menziarahi kubur anak lelaki mereka di sebuah lokasi di Sarawak.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, anak kepada pasangan berkenaan sudah empat tahun meninggal dunia akibat kanser otak.

Perkara itu dikongsikan oleh Joy MamaNunai menerusi laman sosial miliknya ketika menziarahi kubur ibu dan bapanya pada Ahad.

Sebenarnya, tiada masalah andai seseorang mahu menziarahi orang Islam ketika meninggal dunia ataupun sebaliknya.

GAMBAR pasangan suami isteri yang tular menziarahi pusara anak mereka walaupun berlainan agama.
GAMBAR pasangan suami isteri yang tular menziarahi pusara anak mereka walaupun berlainan agama.

Artikel Berkaitan:

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tiada sebarang dalil yang melarang orang bukan Islam daripada memasuki tanah perkuburan Islam.

“Lebih-lebih lagi jika mereka berniat baik dan tidak melakukan sesuatu yang memudaratkan atau menghina maruah orang Islam.

“Mereka juga dialu-alukan untuk datang jika untuk menziarahi kubur saudara-mara masing-masing. Namun, sebarang amalan ritual keagamaan bukan Islam adalah dilarang sama sekali,” katanya.

Ia sebagaimana dipetik menerusi artikel Al-Kafi #1247: Hukum Orang Bukan Islam Memasuki Perkuburan Orang Islam yang disiarkan menerusi laman web rasmi pejabat mufti berkenaan.

Bukan itu sahaja, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, andai sekumpulan non-Muslim bergotong-royong membersihkan kawasan perkuburan orang Islam, ia dibolehkan.

“Perilaku tersebut merupakan sebahagian daripada anjuran tolong-menolong dalam perkara kebaikan.

“Bukan itu sahaja, para ulama juga menyebut, orang bukan Islam tidak dilarang untuk bersama-sama mengiringi jenazah Muslim ke tanah perkuburan dan mendoakan kesejahteraan jenazah,” katanya.

Bagaimana pula jika Muslim menziarahi kubur orang bukan Islam?

Menjawab persoalan itu, pendakwah terkemuka Ustaz Azhar Idrus dalam laman sosial Facebook miliknya menjelaskan, sekiranya tujuan ziarah tersebut untuk mendoakan keampunan bagi jenazah atau memuliakannya atau seumpamanya, maka ia tidak dibolehkan.

ORANG bukan Islam dialu-alukan datang jika untuk menziarahi kubur saudara-mara masing-masing, tetapi dilarang melakukan amalan ritual keagamaan 'non-Muslim'. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf
ORANG bukan Islam dialu-alukan datang jika untuk menziarahi kubur saudara-mara masing-masing, tetapi dilarang melakukan amalan ritual keagamaan 'non-Muslim'. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Perkara itu ada disebut dalam al-Quran yang mana ALLAH SWT berfirman: “Tidak layak bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memohon keampunan (kepada ALLAH) bagi orang-orang musyrik walaupun orang-orang itu kaum kerabat(nya) setelah jelas bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu penghuni neraka jahanam.” (Surah at-Taubah, ayat 113)

Bagaimanapun, andai tujuannya semata-mata kerana ziarah sahaja atau melihat kubur sanak saudara atau kenalan, pendakwah itu menjelaskan, ia dibenarkan.