112,887 isi rumah B40 terima manfaat Skim Perubatan Madani

Zaliha (kanan) mengiringi Anwar ketika Majlis Pelancaran Skim Perubatan Madani dan Program Madani Afiat Peringkat Kebangsaan 2023 di Bulatan Sulatan Azlan Shah di sini pada Ahad.
Zaliha (kanan) mengiringi Anwar ketika Majlis Pelancaran Skim Perubatan Madani dan Program Madani Afiat Peringkat Kebangsaan 2023 di Bulatan Sulatan Azlan Shah di sini pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Skim Perubatan Madani yang diperkenalkan sejak bulan Jun lalu telah memberi manfaat kepada seramai 112,887 isi rumah dalam kalangan keluarga B40.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, dalam tempoh itu juga sebanyak 181,460 rawatan pesakit luar diberikan kepada penerima manfaat yang kebanyakannya merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah.

Menurutnya, sehingga kini sebanyak 1,587 klinik swasta yang sudah mendaftar melalui skim berkenaan dan memberikan perkhidmatan kesihatan kepada penerima terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, dewasa dan warga emas.

"Selaras dengan agenda Ekonomi Madani, yang mementingkan inklusiviti atau keterangkuman dan kesejahteraan sosial, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi pelaksanaan Skim Perubatan Madani untuk tahun 2023.

"Saya mengharapkan mudah-mudahan Skim ini akan dapat diteruskan lagi pada tahun hadapan agar lebih ramai rakyat di seluruh negara dapat menikmati manfaat daripada skim ini," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skim Perubatan Madani dan Program Madani Afiat Peringkat Kebangsaan 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini pada Ahad.

Majlis tersebut disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sementara itu, Zaliha berkata, Kementerian Kesihatan juga akan sentiasa berusaha untuk menambahbaik skim tersebut dengan mengambilkira input dan cadangan daripada pelbagai pihak, supaya ianya memenuhi keperluan kesihatan rakyat dan pengamal perubatan.

Menurutnya, antara penambahbaikan yang telah dilaksanakan termasuklah penambahan jenis ubat-ubatan dan kenaikan kadar kos pembiayaan kepada klinik swasta termasuklah kos prosedur dan juga X-ray.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, pihaknya juga juga akan menilai semula penambahan skop perkhidmatan seperti pergigian yang boleh diliputi Skim Perubatan Madani dari semasa ke semasa, bagi memastikan ia sentiasa memenuhi keperluan kesihatan rakyat.