'Banyak maklumat kami peroleh di MSAM 2023'

Khalsom (tengah) dan keluarganya mendengar penerangan daripada sekretariat yang bertugas di MSAM 2023 mengenai ASNB.
Khalsom (tengah) dan keluarganya mendengar penerangan daripada sekretariat yang bertugas di MSAM 2023 mengenai ASNB.
A
A
A

KEPALA BATAS - Satu keluarga sanggup menempuh perjalanan selama sejam setengah dari Kuala Kangsar, Perak ke Pulau Pinang demi untuk menghadiri Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2023 di Setia Fontaines, Bertam di sini.

Guru Sains dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Perak, Khalsom Abdul Samat, 47, berkata, dia bersama suami, Kamal Mihad, 57, dan tiga anak lelakinya bertolak dari Perak ke sini sejak Sabtu semata-mata untuk Karnival Literasi Kewangan Terbesar di Malaysia itu.

"Saya datang ke sini semalam dan tinggal di hotel, semata-mata untuk menghadiri karnival ini. Banyak maklumat kami dapat antaranya memahami bagaimana pulangan para pemegang unit Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) diperoleh melalui pelaburan dan sebagainya.

Khalsom
Khalsom

"Selain itu, karnival seumpama ini juga memberi pengetahuan cara menyimpan, pelaburan dan pelbagai aspek lain. Hari ini hari kedua kami di sini, seronok.

"Saya harap ia akan diteruskan setiap tahun dan memperbanyakkan lagi lokasi penganjuran bagi memudahkan orang ramai menghadirinya," katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.

Minggu Amanah Saham Malaysia (MSAM) 2023 bermula pada 30 September sehingga 8 Oktober menyediakan pelbagai program interaktif dan menarik sepanjang ia berlangsung antaranya permainan, rancangan bual bicara, kuiz, penampilan selebriti tempatan dan konsert selebriti.

Karnival tersebut turut menawarkan pelbagai lagi hadiah menarik dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.4 juta.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, sepasang suami isteri, Anis Farehah Ab Razak, 35, dan Abu Hanafi Mohd Razawi, 40, dari Selangor juga meluangkan masa mereka ke negeri ini semata-mata untuk menghadiri MSAM 2023.

Anis dan Abu Hanafi melihat maklumat yang disediakan di salah sebuah reruai di MSAM 2023.
Anis dan Abu Hanafi melihat maklumat yang disediakan di salah sebuah reruai di MSAM 2023.

Kedua-duanya yang merupakan ahli perniagaan berkata, mereka sanggup menempuh empat jam perjalanan untuk mendapat lebih banyak maklumat yang disediakan di karnival berkenaan.

"Semalam saya dah datang sini, tetapi lewat petang. Tak puas, jadi hari ini saya datang lagi. Alang-alang memang datang ke Pulau Pinang untuk MSAM, oleh itu, saya datang dari pagi.

"Saya memperolehi banyak maklumat terbaru tentang ASNB dan produk-produknya, promosi, syarikat berkaitan PNB dan banyak lagi.

"Dengan adanya karnival seperti ini, sebagai pengunjung, kita lebih yakin dengan penerangan yang diberikan kerana maklumat sampai terus kepada kita. Senang nak bertanya kerana ada perbincangan dua hala," katanya.

Pekerja swasta dari Bertam, Fariza Kassim, 33, berkata, dia mengetahui mengenai karnival tersebut melalui rakan-rakannya.

"Saya tahu melalui rakan dan alang-alang hari ini hari minggu, saya ajak suami Abd Wafi Amer dan anak-anak datang ke sini. Lagi pun, rumah dekat sini saja.

Orang ramai mula membanjiri MSAM 2023 yang bermula pada 30 September sehingga 8 Oktober ini.
Orang ramai mula membanjiri MSAM 2023 yang bermula pada 30 September sehingga 8 Oktober ini.

"Banyak maklumat yang boleh diperolehi di sini. Selain itu, MSAM 2023 juga menyediakan pelbagai peraduan termasuk kuiz mudah dengan pelbagai hadiah yang menarik untuk dimenangi," katanya.

MSAM 2023 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada jam 4.30 petang, Ahad.

Ia disusuli dengan Majlis Doa Selamat MSAM pada jam 7 malam di Masjid Abdullah Fahim, manakala program Labur Ria yang menampilkan artis terkenal, Ella dan Black yang dihoskan Izzue Islam pada jam 8.30 sehingga 10 malam.