Kesilapan semasa larian ranapkan impian Umar

Umar Osman
Umar Osman
A
A
A

SEDIKIT kesilapan pada pusingan pertama acara 400 meter (m) lelaki memusnahkan impian bintang olahraga negara, Umar Osman untuk layak ke final pada penampilan sulungnya di Sukan Asia Hangzhou 2022 pada Jumaat.

Pelari berusia 20 tahun itu, meletakkan harapan mara ke final selaku lapan pelari terbaik dengan memperbaiki catatan rekod kebangsaan 46.09 saat (s) miliknya, namun gagal selepas menduduki tempat ke-11 keseluruhan.

Pada saringan ketiga di Stadium Olimpik Hangzhou, Umar menamatkan larian di tempat ketiga dengan catatan 46.58s, dengan pemenang pingat perak Kejohanan Asia Fuga Sato (45.56s) dari Jepun, meraih kedudukan pertama.

Catatan paling perlahan yang dicatatkan pada malam tadi untuk mara ke final ialah 46.07s, yang dibuat oleh Aruna Darshana dari Sri Lanka.

“Saya tidak berpuas hati dengan larian itu kerana banyak melakukan kesilapan. Saya sedikit lambat di permulaan, untuk kejar balik pada 200m terakhir selepas ketinggalan agak sukar, menyebabkan prestasi merudum sikit.

“Sasaran saya nak perbaiki rekod, buat catatan lebih pantas supaya mara ke final. Namun, untuk final saya tidak meletakkan sebarang sasaran,” katanya.

Pelari kelahiran Johor itu, telah tiga kali memecahkan rekod pada tahun ini, iaitu catatan 46.34s ketika meraih emas Sukan SEA Kemboja pada Mei lalu, serta catatan 46.33s dan 46.09s di Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Chengdu, China, 2 Ogos lalu. - Bernama

Artikel Berkaitan: