Ahmad Shapawi impi emas sulung Olimpik

AHMAD SHAPAWI
AHMAD SHAPAWI
A
A
A

SELEPAS 35 tahun bergelumang dalam arena sukan negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail secara rasmi menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) pada Khamis.

Dalam tempoh hampir sembilan tahun menerajui MSN, Ahmad Shapawi mengharungi pelbagai kisah suka dan duka sambil beliau turut memberikan gambaran sudah bersedia mendepani 'dunia baharu'.

“Hari ini (Khamis) merupakan hari jadi saya yang ke-60 dan saya bakal memulakan bab baharu dalam kehiduan saya sebagai seorang persara.

“Saya kini ada cucu dan saya bercadang untuk menghabiskan masa dengan keluarga saya,” jelas Shapawi ketika ditemui pemberita di Melaka pada Khamis.

Biarpun kini tidak lagi berkhidmat dengan MSN, Ahmad Shapawi akan kekal meneruskan tugasnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang bakal tamat pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ahmad Shapawi meluahkan rasa kesal atas kegagalan kontijen Malaysia meraih emas sulung Sukan Olimpik sepanjang mengemudi MSN.

“Sesuatu yang saya kesali adalah kita masih belum dapat memenuhi sasaran negara untuk mendapat pingat emas pertama Sukan Olimpik walaupun kita berjaya mendapat pingat emas Sukan Paralimpik.

"Jadi saya doakan Malaysia akan terus berjaya untuk memecahkan kebuntuan memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik nanti," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, beliau bersedia untuk menawarkan kepakarannya dalam membantu mana-mana persatuan sukan kebangsaan demi kebaikan sukan Malaysia.

"Saya juga seorang bekas atlet dan diberi peluang mengemudi MSN bagi membawa satu dimensi baharu kepada sukan negara. Alhamdulillah, kita berjaya membuktikan sesuatu pada Sukan SEA 2017 (di Kuala Lumpur).

"Kita juga menduduki tempat keempat Sukan Komanwel 1998. Ia satu cabaran yang amat tinggi memandangkan kita sebagai tuan rumah dan beberapa sukan turut digerakkan daripada kejayaan program berkenaan," ujarnya.

Untuk rekod, Ahmad Shapawi memulakan tugasnya dengan agensi Kementerian Belia dan SUkan (KBS) itu sebagai Pegawai Belia dan Sukan MSN pada 1988 hingga 1996.

Kemudiannya beliau dilantik sebagai Pengarah Bahagian Persediaan Antarabangsa (1996-2005), Pengarah Bahagian Dasar (2005-2007) dan Pengarah Bahagian Atlet (2007-2012).

Ahmad Shapawi bertukar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Sukan Negara (ISN) dari 16 Jun 2012 hingga 16 Jun 2013 sebelum dilantik selaku Pesuruhjaya Sukan mulai 17 Jun 2013 hingga 18 Disember 2014.

Beliau secara rasmi memulakan tugas sebagai Ketua Pengarah MSN pada 19 Disember 2014 bagi menggantikan tempat Allahyarham Datuk Seri Zolkples Embong.