Dua lagi staf hospital ditahan berkait rasuah urus mayat

SEREMBAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan menahan dua lagi kakitangan perubatan awam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM3,500 sebagai balasan menawarkan kerja-kerja pengurusan mayat bukan Islam di sebuah hospital di negeri ini.
Sumber berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia 30-an dan 40-an itu ditahan kira-kira jam 2.30 petang di pejabat SPRM Negeri Sembilan pada Khamis.
"Mereka dipercayai menerima rasuah daripada dua syarikat sama antara tahun 2021 dan 2022 yang melibatkan kira-kira 12 transaksi bank berjumlah RM3,500," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.