Penatnya kena 'sidai' di hospital

DATANG seawal pagi, namun menjelang tengah hari urusan masih juga belum selesai. Lebih teruk hampir ke petang, baru nombor dipanggil untuk bertemu doktor.
Bermakna sehari suntuklah kena 'sidai' di hospital hanya untuk bertemu doktor yang tak sampai 15 minit pun.
Itu yang dihadapi penulis ketika menemani suami menghadiri janji temunya di sebuah hospital kerajaan baru-baru ini. Apa yang menyedihkan, rata-rata pesakit yang menunggu bukanlah muda belia, tetapi kebanyakannya mereka yang sudah berusia.
Yang datang pula bukanlah kali pertama untuk mendapatkan rawatan, tetapi mereka yang sudah mendapat janji temu. Jadi tidak sewajarnya timbul isu waktu menunggu yang panjang kerana bilangan pesakit pastinya sudah dihadkan.