KDNK catat peningkatan 4.2 peratus

Mohd Zuki (empat dari kanan) ketika majlis perasmian Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam Ke-27 2023 dan pelancaran inisiatif Value Champion Officer (VCO) di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam pada Selasa.
Mohd Zuki (empat dari kanan) ketika majlis perasmian Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam Ke-27 2023 dan pelancaran inisiatif Value Champion Officer (VCO) di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia berada di landasan yang tepat untuk muncul sebagai sebuah negara ekonomi yang kuat dan teguh di rantau ini dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, menerusi kerangka Ekonomi Madani, kerajaan turut mensasarkan ekonomi negara berada di kedudukan antara 30 terbesar di dunia.

Menurut beliau, dalam tempoh separuh pertama 2023, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara telah mencatat peningkatan sebanyak 4.2 peratus.

"Prestasi pasaran buruh juga lebih baik dengan kadar produktiviti yang lebih tinggi dicatatkan iaitu 3.7 peratus setahun bagi tempoh 2021 hingga 2022.

"Kadar pengangguran juga menurun kepada 3.5 peratus pada suku kedua tahun 2023

"Selain itu, kita juga telah berjaya mengangkat agenda kesejahteraan rakyat di peringkat domestik apabila Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia yang mengukur tahap kesejahteraan ekonomi dan sosial rakyat telah meningkat sebanyak 1.3 peratus setahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam Ke-27 2023 dan pelancaran inisiatif Value Champion Officer (VCO) di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, tambah beliau, kesemua kejayaan ini sebenarnya adalah merupakan kesungguhan dan komitmen serta pengorbanan semua para penjawat awam yang didokong bersama-sama rakan-rakan kita di sektor swasta dalam menggerakkan enjin ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zuki berkata, inisiatif baharu yang dikenali sebagai Value Champion Officer yang diluncurkan pada majlis berkenaan akan menjadi mekanisme penggerak dalam membudayakan amalan nilai.

"Inisiatif ini akan dipadankan dengan Sistem Amalan Nilai (SPAN 2.0) yang telah dan sedang dilaksanakan sekarang bagi mengukur pengamalan nilai dalam organisasi.

"Semoga dengan terlaksananya inisiatif ini, nilai asas individu dan organisasi dapat dilaksanakan," tambahnya.

Jabatan Perkhidmatan Awam turut melantik 15 pegawai Value Champion Officer dari kementerian, jabatan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi melestarikan pembudayaan nilai murni dalam perkhidmatan awam melalui teladan baik di organisasi.