Sempat larikan kenderaan polis selepas ditembak

Kereta suspek yang terbabas selepas melarikan diri dari polis.
Kereta suspek yang terbabas selepas melarikan diri dari polis.
A
A
A

MACHANG - Seorang lelaki maut ditembak selepas menyerang pihak polis dengan senjata tajam dalam kejadian jam 4.30 pagi di Tok Bok, di sini pada Isnin.



Bagaimanapun, suspek berusia 33 tahun dari Pengkalan Chepa, Kota Bharu itu sempat melarikan diri dengan menggunakan kereta peronda (MPV) sebelum mayatnya ditemui kira-kira empat kilometer dari tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, anggota MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang dimaklumkan oleh Bilik Gerakan IPD itu berkaitan aduan awam bahawa terdapat sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna putih dalam keadaan mencurigakan di kawasan Kampung Joh, Labok.

Katanya, bertindak atas maklumat yang diterima, kenderaan peronda polis bergerak ke lokasi dan terserempak dengan kereta dinaiki oleh dua lelaki terbabit.

Menurut beliau, menyedari kehadiran polis, pemandunya memecut kereta untuk melarikan diri dan dikejar polis melalui Jalan Machang ke arah Kota Bharu sambil memberikan arahan dengan pembesar suara untuk suspek berhenti.

“Pada masa itu berlaku beberapa kali pelanggaran antara kereta suspek dengan kenderaan peronda polis hingga kereta suspek terbabas ke kanan jalan di kawasan Kampung Labok.

“Semasa polis turun untuk membuat pemeriksaan, suspek yang memandu kereta keluar menyerang anggota sambil memegang senjata tajam dan sudah memberikan amaran namun terpaksa bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah kaki suspek untuk mempertahankan diri,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, suspek seterusnya bertindak meluru masuk ke bahagian pemandu kenderaan polis dan melarikan kereta itu ke arah Kota Bharu manakala seorang lagi suspek lelaki berusia 43 tahun beralamat di Kubang Kerian berjaya ditahan di tempat kejadian.

Ujar Mohd Ali, kenderaan peronda polis yang dilarikan dijumpai berhenti di tepi jalan di kawasan Pulai Chondong di sini dalam jarak kira-kira 4 kilometer dari lokasi kejadian tembakan.

“Selepas diperiksa mendapati suspek sudah meninggal dunia di kerusi pemandu dalam kereta peronda.

Artikel Berkaitan:

“Mayat suspek dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat dan semakan mendapati dia mempunyai beberapa rekod jenayah,” katanya.

Tambah beliau, pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menjumpai peralatan mencuri lembu seperti beberapa utas tali, picagari yang mengandungi cecair dipercayai ubat pelali, sebilah parang, pisau, pengasah dan dokumen pengenalan diri seorang lelaki yang beralamat di Sungai Besar, Selangor.

“Siasatan lanjut mendapati sebelum kejadian suspek terlibat dalam kegiatan mencuri lembu di Kawasan Kampong Joh, Labok di daerah ini kerana terdapat seekor lembu yang baru disembelih di lokasi tersebut.

“Peralatan yang ditemukan turut dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 307, 379, 379A, 186 Kanun Keseksaan dan 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata beliau.