DIBW 2023: Empat lelaki direman kes pergaduhan

Kamarul Zaman
Kamarul Zaman
A
A
A

JOHOR BAHRU - Empat lelaki yang terlibat dalam kejadian merusuh ketika penganjuran acara Desaru International Bike Week (DIBW) 2023 di Pantai Awam Desaru, Kota Tinggi pada Sabtu, direman untuk siasatan lanjut selama tiga hari.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, perintah reman itu dikeluarkan terhadap kesemua suspek berusia 20-an hingga 50-an di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi sehingga Rabu depan.

"Pada Sabtu, dua lelaki tempatan yang mengalami kecederaan dipercayai terlibat pergaduhan ketika acara DIBW ditahan polis pada pagi Ahad.

"Seterusnya dua lagi lelaki menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi pada petang Ahad," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut Kamarul Zaman berkata, penganjur acara DIBW 2023 telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

Sebelum itu pada Sabtu dalam sidang media, Kamarul Zaman memberitahu, insiden kekecohan berkemungkinan berpunca daripada salah faham disebabkan cabar mencabar antara sebuah kumpulan motosikal berkuasa tinggi dari Amerika Syarikat dan sebuah kumpulan tempatan.

Jelasnya, pelbagai spekulasi dilemparkan berhubung kejadian ini dan siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Dipercayai anggota setiap kumpulan motosikal seramai 20 orang. Polis masih mengesan beberapa lagi individu yang terlibat dan meminta mereka yang terbabit menyerah diri atau akan ditangkap,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beberapa video tular di media sosial antaranya salah satu video berdurasi 4 minit 25 saat yang memaparkan kejadian pada sebelah siang, kelibat beberapa anggota polis dilihat berjaya mengawal pergaduhan mulut yang berlaku.

Bagaimanapun, menerusi satu lagi video berdurasi seminit 16 saat yang memaparkan kejadian pada sebelah malam dengan keadaan seperti tidak dapat dikawal sehingga berlaku insiden membaling objek termasuk kerusi dalam kalangan peserta.