Budak lemas dalam kolam renang, abang tiri diberkas

Rakaman CCTV di lokasi kejadian melibatkan seorang kanak-kanak perempuan lemas di sebuah apartment di Bangi pada 13 September lalu.
Rakaman CCTV di lokasi kejadian melibatkan seorang kanak-kanak perempuan lemas di sebuah apartment di Bangi pada 13 September lalu.
A
A
A

KAJANG - Seorang lelaki diberkas berkaitan kes seorang kanak-kanak perempuan berumur empat tahun yang maut akibat lemas dalam kolam renang di sebuah apartment di Bangi, 13 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, suspek yang merupakan abang tiri mangsa berumur 26 tahun itu diberkas pada Ahad setelah penelitian dijalankan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian yang baru dapat diakses.

"Penelitian yang dijalankan berdasarkan CCTV tersebut mendapati ketika kejadian suspek yang merupakan abang tiri mangsa turut berada di lokasi kejadian.

"Suspek dilihat sedang leka melakukan sesuatu sambil melihat sahaja mangsa yang sedang lemas tanpa bertindak melakukan sesuatu untuk menyelamatkan mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan berkaitan kejadian daripada pegawai perubatan Hospital Serdang yang telah menerima mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada hari kejadian.

"Siasatan mendapati kira-kira jam 3 petang, mangsa maut selepas dipercayai lemas ketika mandi di apartment tersebut sebelum dibawa ke klinik dan kemudiannya dibawa ke Hospital Serdang bagi rawatan selanjutnya.

"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1 petang, 14 September selepas mendapatkan rawatan dan kes awalnya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut(SDR)," katanya.

Katanya, suspek yang berumur 26 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bagi siasatan lanjut berkaitan kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat dan diklasifikasi bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985730 bagi membantu siasatan," katanya.