Tiada unsur jenayah, kematian pemandu lori akibat lemas

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Polis mengklasifikasikan kematian seorang pemandu lori yang ditemui lemas dalam sebuah lombong Perbadanan Air Kala dekat Lenggong pada Rabu sebagai kematian mengejut.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, hasil bedah siasat dijalankan mengesahkan punca kematian lelaki warga tempatan berusia 33 tahun itu disebabkan lemas.

"Bedah siasat telah dijalankan di Hospital Gerik hari ini. Tiada sebarang unsur jenayah ditemui dalam kes ini," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, pada hari kejadian mangsa telah masuk ke kawasan ladang untuk menghantar muatan pasir dan simen ke kolam takungan sekitar jam 1.20 petang.

Katanya, sehingga jam 3 petang, polis bantuan yang bertugas membuat semakan lori dipandu mangsa masih belum keluar dari ladang berkenaan.

"Pemeriksaan kemudiannya dilakukan dan mengesan lori mangsa berada di tepi kolam, namun lelaki itu tidak kelihatan disyaki telah terjatuh dalam kolam tersebut.

"Operasi mencari dilakukan anggota bomba dengan bantuan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan berjaya menemui mangsa pada jam 11.25 malam," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, mangsa disyaki lemas selepas topi dan seliparnya ditemui di dalam kolam tadahan tersebut manakala lori masih berada di kawasan parkir tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

Pencarian dijalankan menemui mangsa pada jarak 50 meter dari lokasi dia dipercayai jatuh.