Suspek bunuh budak 11 tahun diberkas

Suspek kes bunuh kanak-kanak berjaya diberkas di kawasan Blok 12 Ladang FGV PM Sahabat 41, Lahad Datu.
Suspek kes bunuh kanak-kanak berjaya diberkas di kawasan Blok 12 Ladang FGV PM Sahabat 41, Lahad Datu.
A
A
A

LAHAD DATU - Lelaki yang menetak kanak-kanak berusia 11 tahun di perumahan pekerja di Felda Sahabat 30, dekat sini akhirnya berjaya diberkas pada pagi Ahad.

Suspek warga asing dikenali, Paulus Poka Lolo, 35, ditahan oleh sepasukan polis bantuan Felda di kawasan Blok 12 Ladang FGV PM Sahabat 41 dekat sini kira-kira jam 7 pagi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, susulan kejadian bunuh itu, pihak polis bantuan telah mempertingkatkan rondaan di kawasan tersebut.

"Suspek kemudian berjaya dikesan dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut dan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu telah menahan suspek.

"Lokasi suspek ditangkap iaitu sejauh kira-kira dua kilometer dari lokasi tempat kejadian bunuh, " katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Tambah beliau, parang yang digunakan suspek dalam kejadian itu juga berjaya dikesan dengan bantuan anjing pengesan (Unit K9) IPD Lahad Datu.

"Hasil soal siasat yang dijalankan, suspek mendedahkan tempat senjata yang digunakannya dalam kes ini disimpan.

"Polis kemudian merampas parang berukuran kira-kira 58 sentimeter di kawasan semak tepi jalan ladang lokasi ladang berkenaan iaitu kira-kira 500 meter dari lokasi suspek ditangkap," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Rohan Shah, menerusi tangkapan terhadap suspek dan rampasan senjata yang digunakan pihaknya percaya kes itu telah berjaya diselesaikan.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Lahad Datu esok (Isnin) bagi permohonan reman bagi melengkapkan siasatan," katanya.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan seorang kanak-kanak maut akibat ditetak rakan kepada bapa tirinya dan mayatnya ditemukan di halaman rumah perumahan pekerja berkenaan.

Mayat kanak-kanak itu ditemukan dalam keadaan berlumuran darah serta kesan tetakan pada bahagian kepala, leher dan putus pada tangan kiri mangsa.