Tujuh peniaga bazar Ramadan kena kompaun

Peniaga bazar Ramadan di tapak lama Taman Indera Sempurna. (Gambar kecil: Nor Kamawati Kamal)
Peniaga bazar Ramadan di tapak lama Taman Indera Sempurna. (Gambar kecil: Nor Kamawati Kamal)
A
A
A

KUANTAN - Tujuh peniaga bazar Ramadan tapak baharu di Indera Sempurna masing-masing dikenakan kompaun RM250 kerana berniaga tanpa permit, pada Isnin lalu.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporatnya, Nor Kamawati Kamal berkata, kompaun itu dikeluarkan selepas pemeriksaan dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di tapak bazar terbabit.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati penganjur bazar tidak mendapat kelulusan tapak bagi menjalankan perniagaan bazar Ramadan.

“Penganjur bazar gagal mengemukakan surat kebenaran menjalankan perniagaan meskipun program bazar Ramadan itu dibuat di atas tanah milik persendirian.

“Mereka perlu mendapat kelulusan dan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan menerusi permohonan sebelum aktiviti perniagaan dimulakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, pihaknya tidak boleh berkompromi membabitkan lesen perniagaan terutamanya yang berkait dengan menyediakan makanan.

Katanya, ini bagi menjamin tahap kebersihan dan keselesaan pengguna selain kemudahan tempat meletak kenderaan.

“Kes membabitkan kompaun dikenakan pada peniaga bazar Ramadan jarang berlaku sebelum ini, namun pada hari pertama Ramadan tahun ini ia berlaku," katanya.

Artikel Berkaitan:

MPK tahun ini menyediakan sebanyak 1,953 permit gerai jualan bazar Ramadan di 35 lokasi tapak perniagaan di daerah ini.

Daripada 35 tapak bazar, lapan lokasi membabitkan seramai 499 peniaga yang menjual pelbagai jenis barangan manakala 27 lokasi lagi (1,454) peniaga menjual makanan, kuih dan air.

Dalam pada itu, Nor Kamawati berkata, tahap kebersihan bazar Ramadan berada dalam keadaan memuaskan.

Selain itu, beliau menasihatkan peniaga supaya memakai pakaian sopan dan bertudung kepala serta wajib meletakkan tanda harga pada setiap barangan yang dijual.

“Harga yang ditawarkan perlu berpatutan dan tidak terlalu mahal sehingga membebankan pengguna yang setiap hari terpaksa mendapatkan juadah berbuka puasa,” katanya.