Kelantan siap sedia hadapi musim banjir

Orang ramai yang mengambil kesempatan bertemu Mohd Nassuruddin (tiga dari kanan) di Pasir Puteh.
Orang ramai yang mengambil kesempatan bertemu Mohd Nassuruddin (tiga dari kanan) di Pasir Puteh.
A
A
A

PASIR PUTEH - Kerajaan Kelantan akan mengadakan mesyuarat bagi penyelarasan persediaan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka berlaku dalam masa terdekat di negeri ini.

Mesyuarat tersebut akan memberikan tumpuan terutama kepada daerah biasa dilanda banjir seperti Pasir Puteh, Pasir Mas, Tumpat, Rantau Panjang dan Tanah Merah.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, pihaknya sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi bencana itu dan pada masa sama berdoa agar banjir tahun ini tidak berlaku dengan teruk.

Kata beliau, perbincangan dalam mesyuarat itu akan turut melibatkan ketua-ketua jajahan dari setiap daerah di negeri ini.

“Kami berada dalam keadaan bersedia macam biasa kerana Kelantan ini memang selalu berlaku banjir. Persediaan termasuk pengurusan bekalan makanan kepada mangsa-mangsa.

“Mesyuarat akan diadakan dalam waktu terdekat dan biasa apabila menjelang akhir tahun akan diadakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pondok-pondok Berselawat sempena Sambutan Maulidur Rasul Perdana 1445M/2023M di Cherang Tuli, Padang Pak Amat di sini, pada Sabtu.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Guru-guru Pondok negeri Kelantan, Wazir Che Awang.

Akhbar sebelum ini melaporkan negeri-negeri di kawasan Pantai Timur, utara dan sebahagian besar Sabah dan Sarawak dijangka menerima taburan hujan tinggi menjelang dua minggu terakhir bulan ini.

Artikel Berkaitan:

Perubahan cuaca tersebut ialah normal berikutan peralihan monsun Barat Daya ke Timur Laut.