Peluang Weng Son raih pingat pertama

Weng Son akan beraksi dalam acara Changquan lelaki di Pusat Sukan Xiaoshan Guali, Hangzhou pada Ahad. - Foto Agensi
Weng Son akan beraksi dalam acara Changquan lelaki di Pusat Sukan Xiaoshan Guali, Hangzhou pada Ahad. - Foto Agensi
A
A
A

ATLET wushu negara, Wong Weng Son berpotensi besar menaiki podium dalam acara Changquan lelaki pada Sukan Asia Hangzhou 2022 pada Ahad.

Sejak menjalani latihan intensif di Tianjin, China sebulan lalu, Weng Son telah berjaya meningkatkan darjah kesukaran dalam usaha menyaingi barisan atlet handalan dunia termasuk jagoan wushu tuan rumah.

Bekas juara dunia berusia 31 tahun itu mengakui berada pada tahap terbaik untuk menghadiahkan pingat pertama kontinjen negara menjelang hari pertandingan di Pusat Sukan Xiaoshan Guali, Hangzhou pada Ahad sekali gus menebus kekecewaan pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.

"Dalam wushu persediaan sahaja tidak cukup, anda boleh dapat yang terbaik tetapi kesilapan kecil pada hari pertandingan boleh menjejaskan keseluruhan. Di Indonesia lima tahun lepas, saya dalam keadaan terbaik tetapi semasa pertandingan terdapat kesilapan dalam rutin saya.

"Sekarang selepas sebulan menjalani persiapan di China, saya lebih berkeyakinan. Jika saya berjaya tampilkan persembahan terbaik dengan kesilapan yang minimum saya yakin menang pingat," katanya kepada media di Hangzhou.

Dalam pada itu, pengurus skuad wushu ke Hangzhou 2022, Yong Kheng Chien ketika dihubungi berkata juara dunia 2017 di Kazan, Rusia itu mempunyai peluang cerah menyambar kilauan pingat sekiranya berjaya mempamerkan persembahan sempurna.

"Beliau (Weng Son) secara peribadi memberitahu saya persediaan di China banyak bantu tingkatkan prestasinya. Di sana beliau berlatih dan berjumpa dengan atlet dari pelbagai negara, jadi itu juga telah memberinya keyakinan.

"Beliau juga sedar umurnya semakin meningkat, sebab itu juga beliau tingkatkan darjah kesukaran dan akan lakukan yang terbaik, sekiranya beliau berjaya, peluangnya untuk menaiki podium adalah lebih cerah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Weng Son merupakan pemenang pingat emas acara Jianshu pada Kejohanan Dunia 2017 dan turut mengumpul dua perak Changquan masing-masing pada edisi 2015 dan 2019.

Bagaimanapun, atlet kelahiran Negeri Sembilan itu yang mengumpul tiga emas dalam dua edisi Piala Dunia belum berjaya membawa pulang pingat di pentas Sukan Asia yang menyaksikan beliau menamatkan acara Changquan di tempat kesembilan di Indonesia. - Bernama