Selangor tempuh misi sukar

Jentera serangan Selangor diharap lebih tajam berdepan TFC.
Jentera serangan Selangor diharap lebih tajam berdepan TFC.
A
A
A

PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe percaya skuad Gergasi Merah mampu bangkit memadam defisit dua gol yang dimiliki Terengganu FC (TFC) dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Ahad.

Menurut Cheng Hoe, beliau menuntut pemainnya mencari gol awal untuk meraih keyakinan dan menguasai perlawanan sekali gus menghentikan rentak TFC.

Beliau juga menegaskan Selangor mempunyai kekuatan penuh bagi menghadapi perlawanan timbal balik itu selepas kesemua pemain cukup cergas dan bebas daripada kecederaan.

"Memang kita tahu perlawanan pertama kita kalah dua gol dan satu agregat yang agak besar. Bukan mudah untuk pasukan, tetapi pemain harus yakin dan fokus pada perlawanan itu.

"Pemain kena bersedia dengan apa jua situasi dan pergi habis-habisan untuk meraih gol awal pada minit awal perlawanan.

"Namun, kita tidak boleh leka dengan serangan balas yang dipamerkan Terengganu kerana mereka cukup berbahaya," katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Dalam aksi pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak minggu lalu, TFC berjaya menewaskan Selangor 2-0 untuk membawa bekalan selesa ke Stadium MBPJ malam esok.

Dalam pada itu, Cheng Hoe juga mengharapkan jentera serangannya cukup tajam bagi memastikan dapat menembusi benteng pertahanan TFC yang cukup kebal.

Artikel Berkaitan:

"Kita tahu Terengganu hadir dengan keyakinan tinggi selepas berjaya menewaskan Central Coast Mariners dalam Piala AFC baru-baru ini.

"Kita kena memanfaatkan setiap peluang yang ada dan apa yang penting keyakinan pasukan untuk menguasai perlawanan.

"Kita lihat pada perlawanan pertama kita gagal menguasai perlawanan dan bahagian pertahanan kita juga agak goyah. Namun, saya yakin aksi pasukan pada perlawanan kedua akan berbeza," katanya.