Lima sahabat kemalangan turun Genting Highlands, seorang maut

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang terlibat kemalangan di Kilometer 25.8 Lebuhraya Karak di sini pada Jumaat.
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang terlibat kemalangan di Kilometer 25.8 Lebuhraya Karak di sini pada Jumaat.
A
A
A

GOMBAK - [DIKEMAS KINI] Perjalanan pulang lima sahabat dari bercuti di Genting Highlands berakhir tragedi apabila kereta dinaiki hilang kawalan sebelum terbabas mengakibatkan salah seorang daripada mereka maut dalam kejadian di Kilometer 25.8 Lebuhraya Karak di sini pada Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, laporan berkaitan kejadian diterima pihaknya kira-kira jam 5 pagi.

Menurut beliau, difahamkan kesemua mangsa terlibat berasal dari Negeri Sembilan.

"Siasatan mendapati kereta jenis Proton Saga dinaiki lima lelaki warga tempatan berumur antara 17 hingga 22 tahun itu dari arah Genting Highlands menuju ke Kuala Lumpur.

"Semasa melalui jalan berselekoh menuruni bukit kenderaan yang dinaiki kesemua mangsa telah hilang kawalan sebelum terbabas," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Kenderaan dinaiki kesemua mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer 25.8 Lebuhraya Karak pada Jumaat.
Kenderaan dinaiki kesemua mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer 25.8 Lebuhraya Karak pada Jumaat.

Katanya, salah seorang penumpang mengalami kecederaan parah di bahagian kepada dan disahkan maut di lokasi kejadian.

"Mangsa yang maut merupakan lelaki berumur 22 tahun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Selayang untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Empat lagi mangsa mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan.

"Saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Norazlan Noorudin di talian 019-7974466 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222," katanya.